Saturday, October 26, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Intel labur AS$4.6 bilion bina kilang baharu

    NEW YORK, 16 JUN – Syarikat cip gergasi Amerika Syarikat (AS), Intel berkata hari ini ia merancang melabur sehingga AS$4.6 bilion untuk membina kilang baharu di Poland, mewujudkan kira-kira 2,000 pekerjaan dalam proses itu.

    Kemudahan baharu itu, yang akan ditempatkan di Wroclaw, “akan membantu memenuhi permintaan kritikal untuk pemasangan dan kapasiti ujian yang dijangka Intel menjelang 2027,” kata firma itu dalam satu kenyataan.

    Pelaburan itu bertujuan membantu Kesatuan Eropah membina rantaian bekalan semikonduktor yang lebih berdaya tahan, tambahnya.

    EU menyasarkan untuk menuntut semula 20 peratus kapasiti pembuatan semikonduktor global menjelang 2030 dan telah melabur dalam kemudahan cip di Jerman dan Ireland untuk meningkatkan pengeluaran di blok itu.

    Pengumuman itu menyusuli suku pertama 2023 yang sukar untuk Intel.

    Pada bulan April, ia mengumumkan kejatuhan besar dalam jualan untuk tempoh Januari-Mac kerana penurunan mendadak dalam permintaan untuk semikonduktor, terutamanya yang digunakan dalam komputer.

    Intel ialah salah satu firma semikonduktor terkemuka di dunia, menghasilkan pelbagai jenis produk, termasuk cip generasi terkini. – AFP

    Gambar freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda