MILAN, 1 MAC – Romelu Lukaku menjaringkan gol selepas 33 saat perlawanan bermula dan membantu rakan sepasukan untuk mencatat kemenangan 3-0 buat Inter Milan ke atas Genoa kelmarin untuk meneruskan perjuangan mereka memburu kejuaraan di hadapan seteru ketat, AC Milan, yang juga meraih kemenangan 2-1 selepas menewaskan Roma.
Inter kekal empat mata di hadapan Milan, yang berada di tangga kedua dan kembali merekodkan kemenangan di Rom selepas kekalahan berturut-turut di liga termasuk perlawanan derbi pada hujung minggu lepas.
Juara bertahan, Juventus berada enam mata mengejar pendahulu setelah terikat 1-1 di Hellas Verona Sabtu lalu, tetapi masih mempunyai kelebihan perlawanan.
Atalanta, mengutip mata sama dengan Juve, merampas kedudukan empat teratas daripada Roma, yang kini jatuh ke tangga keenam berikutan kekalahan di tangan Milan.
Lukaku menjaringkan gol dengan peluang pertama di San Siro, kemudian membantu Matteo Darmian untuk meledak gol kedua pada minit ke-69. Alexis Sanchez diturunkan dari bangku simpanan menambah gol terakhir dengan perlawanan berbaki 13 minit.
“Kami berada di kedudukan teratas dan terasa sangat bagus,” kata Lukaku ketika Inter cuba merosakkan rancangan Juve untuk memenangi kejuaraan 10 kali berturut-turut selepas berada di tangga kedua musim lalu.
Pasukan bimbingan Antonio Conte meneruskan rentak minggu lalu di mana mereka membenam Milan 3-0, merekodkan kemenangan kelima berturut-turut ketika mereka memburu kejuaraan pertama buat kali pertama sejak 2010.
“Kami gembira kerana hasil kerja keras kami membuahkan hasil,” kata Conte.
“Kami tahu masih ada 14 perlawanan. Kami mesti meneruskan momentum sehingga penghujungnya jika kami ingin melakukan sesuatu yang bagus.
Lukaku mengetuai perlawanan, melengkapkan gandingan bersama Lautaro Martinez selepas usaha Nicolo Barella untuk membuat percubaan untuk meledak gol ke-19 di Serie A pada musim ini, kurang satu gol di belakang Cristiano Ronaldo. – AFP
