Inter hampiri kejuaraan Serie A

MILAN, 22 FEB – Jurulatih Inter Milan, Antonio Conte kagum perlawanan ‘dimainkan dengan sempurna’ selepas Lautaro Martinez menjaringkan dua gol, sementara Romelu Lukaku turut mencatat nama selaku penjaring dalam kemenangan 3-0 ke atas seteru ketat, AC Milan dan melanjutkan kedudukan mereka di puncak Serie A, kelmarin.

Inter menjarakkan jurang dengan mendahului empat mata ke atas pasukan tempat kedua, Milan dengan pasukan kendalian Conte menyasarkan kejuaraan liga pertama sejak memenangi treble di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2010.

“Pujian harus diberikan kepada pemain, mereka mempamerkan aksi luar biasa, bermain dengan sempurna,” kata Conte, yang memburu untuk menamatkan penguasaan Juventus dan melakar kemenangan liga ke-10 berturut-turut.

Sementara itu dalam perlawanan lain, Roma terikat tanpa jaringan dengan pasukan yang menduduki tangga ke-15, Benevento, membuka ruang kepada Juventus, ketinggalan 11 mata mengejar pendahulu liga, berpeluang untuk merampas kedudukan ketiga menentang pasukan tercorot, Crotone hari ini. Roma masih berada lima mata di belakang pasukan Milan dan akan bertemu di Rom minggu hadapan.

Manakala, dalam perlawanan untuk merebut kedudukan keempat, Napoli dibenam 4-2 oleh Atalanta dengan penyerang Nigeria, Victor Osimhen mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital setelah tidak sedarkan diri berikutan kejadian hantukkan di bahagian kepala.

Di San Siro, Lukaku beraksi dengan sangat baik, pemain Belgium itu memainkan peranan penting dalam menghantar bola kepada Martinez untuk menjaringkan dua gol dan sebelum minit ke-57, menjaringkan gol ke-17 dalam liga musim ini dan berada dalam senarai penjaring gol di Serie A.

Milan, memburu Scudetto pertama sejak 2011, mencatat kekalahan berturut-turut di Serie A buat kali pertama.

“Kami amat terseksa dan menderita dalam beberapa tahun-tahun kebelakangan,” kata Martinez. – AFP

Reaksi penyerang Inter, Lautaro Martinez meraikan gol bersama rakan sepasukan semasa perlawanan derbi Milan, kelmarin. – AP