ROM, 14 Mei – Matteo Politano dan Ivan Perisic menjaringkan gol dalam setiap babak ketika Inter Milan merebut semula kedudukan ketiga dalam Serie A awal pagi tadi dengan kemenangan 2-0 ke atas Chievo, sekali gus menghidupkan harapan bagi persaingan Liga Juara-Juara musim depan.
Politano membuka jaringan selepas 39 minit di San Siro dengan Perisic menambah jaringan kedua empat minit sebelum tamat perlawanan, sementara Chievo bermain 10 orang dalam 15 minit terakhir selepas Nicola Rigoni diarah keluar padang kerana kad kuning kedua.
Inter kembali satu mata di depan Atalanta ketika kedua-dua pasukan semakin hampir menyertai juara Juventus dan Napoli ke kejohanan elit Eropah itu, dengan berbaki dua perlawanan musim ini.
AC Milan dan Roma ketinggalan tiga mata dari kedudukan keempat, dengan Torino di kedudukan ketujuh, lima mata di luar slot Liga Juara-Juara.
Inter mampu mengesahkan tempat mereka dengan kemenangan di Napoli hujung minggu ini atau di tempat sendiri menentang Empoli pada perlawanan terakhir musim pada minggu seterusnya.
Kemenangan Inter menamatkan harapan Liga Juara-Juara buat Lazio, di mana pasukan itu berada di tempat kelapan dengan harapan tipis bagi layak ke Liga Europa, yang mereka boleh capai dengan memenangi Coppa Italia menentang Atalanta.
Bologna melonjak mengatasi Fiorentina di kedudukan ke-13 dengan kemenangan 4-1 ke atas Parma, meletakkan pasukan yang baharu dinaikkan itu hanya tiga mata dari zon penyingkiran.
Parma bermain dengan 10 pemain pada setengah jam terakhir selepas Bruno Alves dibuang padang, dan bolos dua gol sendiri. – AFP
