MUNICH, 9 APRIL – Gol Davide Frattesi pada minit ke-88 membawa Inter Milan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Bayern Munich semalam, sekali gus memberikan kelebihan kepada wakil Itali itu selepas aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara.
Bayern yang kekurangan pemain akibat kecederaan memulakan perlawanan dengan penuh semangat dalam setengah jam pertama, dengan Michael Olise dan Harry Kane hampir mencipta jaringan pembukaan.
Inter terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-38 apabila hantaran belakang Marcus Thuram yang bijak menemui Lautaro Martinez yang meledak masuk bola ke gawang.
Pasukan Itali itu terus mengawal permainan sehingga pemain veteran Bayern, Thomas Mueller — hanya beberapa hari selepas mengumumkan akan meninggalkan kelab itu musim panas ini selepas 25 tahun bersama — menyamakan kedudukan dengan penyudah bijak lima minit sebelum tamat.
Namun, Inter tidak berputus asa apabila melancarkan serangan balas hanya tiga minit kemudian, dengan Carlos Augusto menghantar bola kepada Frattesi yang menjaringkan gol kedua Inter.
Inter, yang tewas kepada Manchester City dalam perlawanan akhir dua musim lalu, kini berada di hadapan dalam usaha mereka mara ke separuh akhir kejohanan ini. – AFP
