MILAN, 8 MEI – Inter Milan akan kembali berpijak di bumi nyata pada Ahad ini apabila bertandang ke Torino, dengan misi untuk mengukuhkan semula peluang mempertahankan gelaran Serie A mereka.
Tiada siapa memikirkan tentang jurang tiga mata memisahkan Inter daripada pendahulu liga, Napoli pada malam Selasa lalu apabila Inter mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Barcelona termasuk bintang muda Lamine Yamal dan mara ke final Liga Juara-Juara.
Perjalanan Inter ke final di Munich menjejaskan sedikit usaha mereka mempertahankan gelaran liga, sama ada jurulatih Simone Inzaghi mengakuinya atau tidak kerana mereka terpaksa bersaing dalam tiga pertandingan dengan sumber jauh lebih kecil berbanding pesaing Eropahnya.
Juara bertahan Itali itu hanya mempunyai tiga perlawanan untuk merapatkan jurang dengan Napoli sebelum mereka terbang ke Jerman bagi aksi penentuan menentang Paris Saint-Germain akhir bulan ini.
“Inter tidak pernah memilih untuk mengutamakan satu pertandingan berbanding yang lain,” kata Inzaghi pada Selasa.
“Untuk duduk dan berkata, ‘Saya akan bermain untuk pertandingan itu dan bukan yang ini’ adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Kami telah memberikan segala-galanya dalam setiap pertandingan.”
Namun, Napoli tampak berada di landasan terbaik untuk meraih Scudetto keempat mereka apabila mereka menentang Genoa Ahad ini, salah satu daripada tiga perlawanan menentang pasukan dari bahagian bawah carta. – AFP
