Saturday, September 30, 2023
23.3 C
Brunei

    -

    Inter kutuk tindakan penyokong

    MILAN, 1 NOV – Inter Milan menyelar tindakan sekumpulan penyokong setianya yang memaksa penyokong lain keluar dari Stadium San Siro bagi menghormati rakan mereka yang terbunuh sebelum kemenangan ke atas Sampdoria baru-baru ini.

    Skuad kendalian Simone Inzaghi baru saja meraikan kejayaan layak ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah dan melonjak ke tangga kelima Serie A selepas kemenangan 3-0 Sabtu lalu.

    Bagaimanapun bahagian Curva Nord yang biasanya dimeriahkan dengan sorakan penyokong, kali ini sunyi sepi dan kumpulan berkenaan keluar selepas rehat bagi menghormati Vittorio Boiocchi – antara ketua paling berpengaruh penyokong Inter.

    Penyokong setia lain yang berada di bahagian tengah Curva Nord kemudiannya memuat naik bukti di media sosial yang mengatakan mereka dipaksa serta diugut supaya meninggalkan stadium.

    “Inter Milan mengutuk keras sebarang paksaan yang berlaku di San Siro pada Sabtu.

    “Kelab ingin menyatakan solidariti mereka terhadap peminat yang dipaksa melepaskan apa yang paling mereka ambil berat – cinta dan minat terhadap Inter,” kata Inter dalam dalam satu kenyataan.

    Boiocchi, yang dipenjara lebih 20 tahun pada tahun 90-an kerana mengedar dadah, ditembak beberapa kali berhampiran kediamannya di Milan dan meninggal dunia pada usia 69 tahun. Dia mempunyai rekod jenayah sejak pertengahan 1970-an dan dilarang daripada menghadiri perlawanan Inter.

    Boiochhi didakwa meraih sekitar 80,000 euro sebulan hasil daripada menjadi ulat tiket serta mengambil sebahagian daripada keuntungan tempat letak kereta dan gerai jualan berhampiran San Siro. – AFP

    Aksi Stefan de Vrij menanduk masuk bola ke dalam gawang gol dalam perlawanan antara Inter Milan dan Sampdoria, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Singa baham tuan

    TOKYO, 29 SEPT – Seorang penjaga zoo di taman safari Jepun terbunuh selepas seekor singa dipercayai menyerangnya ketika dia cuba membawa haiwan itu masuk...