MILAN, 17 APRIL – Impian treble Inter Milan masih hidup selepas mara ke separuh akhir Liga Juara-juara semalam hasil keputusan seri 2-2 menentang Bayern Munich, dengan gergasi Serie A itu menang dengan agregat 4-3 dalam aksi suku akhir yang mendebarkan.
Juara Itali itu akan bertemu Barcelona di separuh akhir selepas dua jaringan dalam tempoh tiga minit daripada kapten Lautaro Martinez dan Benjamin Pavard menafikan jaringan Harry Kane untuk Bayern yang menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-52.
Tandukan Eric Dier pada minit ke-76 memberikan Bayern keputusan seri dalam cuaca hujan lebat dan berangin di Milan, namun ia tidak mencukupi buat pasukan kendalian Vincent Kompany untuk meneruskan misi menjuarai Liga Juara-juara buat kali ketujuh.
Pasukan kendalian Simone Inzaghi berjaya mengatasi cabaran dalam keadaan cuaca buruk di San Siro, di mana hujan lebat dan angin kencang menjejaskan keupayaan kedua-dua pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik mereka, dan keadaan itu turut menambah ketegangan dalam perlawanan yang penuh emosi.
“Kami tidak mudah mengalah, kami mempunyai personaliti, semangat dan kebijaksanaan.

Memang ada masa kami ditekan, tetapi kami buktikan sekali lagi bahawa kami mampu melakukan sesuatu yang hebat,” kata Martinez kepada Amazon Prime.
Inter masih berpeluang mengulangi kejuaraan treble – Serie A, Liga Juara-juara dan Piala Itali – yang pernah diperoleh mereka di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2010. Mereka kini tiga mata di hadapan Napoli dalam saingan liga dan bakal menentang AC Milan di separuh akhir Piala Itali.
Kemenangan semalam menunjukkan bahawa Inter berkemampuan untuk mara ke final pertandingan kelab elit Eropah itu, seperti yang mereka lakukan dua tahun lalu sebelum tewas tipis kepada Manchester City.
“Kami sentiasa berfikir untuk memenangi segalanya pada awal setiap musim, kerana jika tidak, lebih baik kami tidak bermain bola sepak. Itulah mentaliti kami,” tambah Martinez.
Bayern sebelum ini menang dalam ketiga-tiga perlawanan Liga Juara-juara di tempat lawan menentang Inter, tetapi selepas Pavard meledak gol pertamanya untuk kelab itu pada minit ke-61, tiada jalan kembali buat pendahulu Bundesliga yang dihambat kecederaan dan impian untuk menjulang kejuaraan di Munich lenyap begitu sahaja. – AFP