Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inter menang, gol ‘sensasi’ Kondogbia

    SINGAPURA, 30 Julai – Geoffrey Kondogbia dari Inter Milan mencipta sejarah yang mengaibkan dengan satu jaringan sendiri luar biasa, tetapi pasukan Itali itu bertahan untuk menang 2-1 dan menghadiahkan kekalahan berturut-turut kepada Chelsea dalam pra musim ini di Singapura.

    Inter mendahului dengan dua gol menerusi jaringan Ivan Perisic dan Steven Jovetic, sebelum apa yang dilihat hantaran belakang dari pemain gantian, Kondogbia melepasi jangkaun penjaga golnya sendiri dan menerjah ke gawang dari jarak 40 ela, mengejutkan 32,000 orang penyokong.

    Penjaga gol Inter, Daniele Padelli, yang tidak mempunyai peluang dan mengangkat tangannya tanda terkejut, tidak membesar-besarkan kesilapan itu, dengan kemudian berkata ia ‘tidak bernasib baik’.

    Bos Chelsea, Antonio Conte bersimpati: “Ia boleh terjadi, ini adalah bola sepak.”

    Tetapi pemain tengah Perancis, Kondogbia kemudian menjadi sensasi di Twitter, dengan ramai yang mengatakan percubaan tidak sengajanya itu adalah gol terbaik sepanjang zaman.

    Penyerang Inter Milan, Steven Jovetic (dua kiri) membuat percubaan ke arah gawang Chelsea dalam persaingan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Singapura. – AFP
    Penyerang Inter Milan, Steven Jovetic (dua kiri) membuat percubaan ke arah gawang Chelsea dalam persaingan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Singapura. – AFP

    Ia menyelubungi satu persembahan bertenaga oleh Inter, terutamanya sasaran Manchester United, Perisic.

    Pemain sayap Croatia itu memainkan peranan penting dan menjaringkan gol kedua bagi pasukan Serie A pada minit ke-53, menerima hantaran dari Jovetic sebelum merembat kemas menewaskan penjaga gol Chelsea.

    Sebagai perbandingan, penandatangan mahal Chelsea, Alvaro Morata, mengharungi malam senyap dalam permulaan pertamanya sejak berpindah dari Real Madrid minggu lepas dan menghasilkan sedikit impak sebelum digantikan pada minit-64.

    Conte berkata bahawa Morata, dibeli dengan perjanjian bernilai 80 juta euro, ‘beraksi dengan baik’ tetapi mengakui Morata perlu melakukan lebih baik. “Dia melakukan sedaya upaya, pastinya, tetapi dia perlu melakukan lebih baik,” kata Conte. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda