MILAN, 20 APRIL – Inter Milan bakal mengadakan perlawanan derby dalam aksi separuh akhir Liga Juara-juara pada awal pagi hari ini selepas seri 3-3 dengan Benfica yang menyaksikan pasukan dari Itali itu menang melalui agregat 5-3.
Skuad kendalian Simone Inzaghi akan berdepan saingan tempatan, AC Milan dalam peringkat separuh akhir hasil jaringan Nicolo Barella, Lautaro Martinez dan Joaquin Correa yang memastikan kelayakan terus pasukan mereka.
Kedua-dua kelab gergasi Milan itu cuba untuk menjadi pasukan Serie A pertama yang memenangi saingan kelab terbaik Eropah sejak kali terakhir Inter menjulang trofi itu pada 2010.
Inter mengharungi pertembungan hari ini dalam prestasi yang menyedihkan di mana satu-satunya kemenangan mereka dalam lapan perlawanan terakhir adalah pada perlawanan pertama minggu lalu di Portugal.
Kemenangan itu mencetuskan dua pertembungan menarik dengan Milan bulan depan selepas juara Itali itu menewaskan Napoli kelmarin.
Ia juga menamatkan tiga kekalahan berturut-turut di tempat sendiri di mana Inter tidak menjaringkan satu gol pun dan meneruskan musim mengagumkan Inter dalam saingan piala sementara kempen liga mereka terumbang-ambing.
Martinez dan Correa menamatkan kemarau jaringan gol dengan serangan mereka, serta memastikan bahawa jaringan gol Fredrik Aursnes, Antonio Silva dan Petar Musa untuk pasukan Benfica tidak memberi sebarang kesan kepada keputusan perlawanan itu.
Silva dan Musa menjaringkan gol lewat untuk pasukan kendalian Roger Schmidt apabila Inter sudah lama memastikan mereka akan bersaing dengan AC Milan untuk menempah tempat ke final pada 10 Jun di Istanbul. – AFP


