Inter Milan bermain tanpa penyokong

ROM, 25 FEB – Perlawanan kedua aksi Liga Eropah antara Inter Milan menentang Ludogorets Razgrad pada Khamis akan berlangsung secara tertutup, susulan kebimbangan penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua memetik badan bola sepak Eropah UEFA kelmarin.

Inter Milan beraksi dalam perlawanan kedua itu dengan kelebihan dua gol selepas menewaskan kelab Bulgaria berkenaan pada aksi pusingan pertama, jaguh Serie A itu akan bertemu Ludogorets di Stadium San Siro tanpa kehadiran penonton.

Terdapat 152 kes dilaporkan di seluruh Itali dan langkah kuarantin dikenakan di wilayah utara Lombardy dan Veneto.

Empat perlawanan Serie A yang dijadual pada Ahad lalu turut ditangguhkan, termasuk perlawanan antara Inter menentang Sampdoria.

Laporan mengatakan semua perlawanan Serie A, Coppa Italia dan Liga Eropah di Itali akan dilangsungkan di gelanggang tanpa penonton. – Bernama