MILAN, 11 FEB – Inter Milan merapatkan jurang kepada satu mata di belakang pendahulu Serie A, Napoli, selepas menewaskan Fiorentina 2-1 semalam dan membalas dendam atas kekalahan besar di Florence, minggu lalu.
Marko Arnautovic, menggantikan Marcus Thuram yang mengalami kecederaan, menanduk masuk gol pertamanya dalam liga musim ini sejurus selepas separuh masa di San Siro, sekali gus memberikan tekanan kepada Napoli yang sekadar seri dengan Udinese pada Ahad.
Juara bertahan Inter akan berkunjung ke Turin hujung minggu ini untuk perlawanan sengit menentang Juventus, dengan jurulatih Simone Inzaghi berharap Thuram kembali segera. Sementara itu, Napoli berdepan tugas sukar menentang Lazio yang berada di tangga keempat ketika persaingan kejuaraan semakin sengit.
Atalanta juga masih dalam perebutan kejuaraan apabila mereka berada empat mata di belakang Inter di tempat ketiga selepas membelasah Verona 5-0 pada Sabtu.
“Kami perlu menunjukkan keupayaan kami di atas padang,” kata Arnautovic kepada DAZN.
“Hari ini kami meraih tiga mata penting dan kami semakin hampir dengan Napoli, tetapi masih belum selesai. Musim masih panjang dan kami hanya boleh fokus untuk memenangi perlawanan.”
Kemenangan kelmarin merupakan pembalasan Inter selepas mereka tewas 3-0 kepada Fiorentina pada Khamis lalu, dalam perlawanan yang disambung semula selepas dihentikan pada Disember susulan serangan jantung yang dialami Edoardo Bove.
Fiorentina kini di tempat keenam dan tiga mata di belakang Lazio selepas perlawanan yang hampir menjadi tegang berikutan gol sendiri Marin Pongracic yang memberikan kelebihan kepada Inter pada minit ke-28. – AFP