ROM, 31 Okt – Inter Milan terus mengekori pendahulu Napoli menerusi kemenangan 2-1 di Verona awal pagi tadi ketika mereka merampas kembali tangga kedua dalam Serie A.
Pasukan kendalian Luciano Spalleti yang belum pernah tewas itu mengutip 29 mata dari 11 perlawanan, satu rekod baru kelab, dan ketinggalan dua mata dari Napoli.
Juara Juventus dan Lazio berkongsi tangga ketiga dengan 28 mata, sementara Roma ketinggalan empat mata di tangga kelima dengan kelebihan satu perlawanan di tangan.
“Terdapat garisan baru dalam sejarah kelab, jadi kami meneruskannya,” kata Spalleti mengenai rekod mata tersebut.
“Kami perlu meneruskan melalui terowong ini sehingga bulan Jun sebelum kami boleh melihat cahaya.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/10/inter-19p8-rubie_011117.jpg)
“Jika kami tidak memenangi perlawanan ini, dan Roma bermain dalam perlawanan mereka (yang ditangguhkan) menentang Sampdoria dan menang, kami akan tersingkir dari kedudukan Liga Juara-Juara.
“Kesemua pasukan yang ada di sana bersaing, saya memikirkan pasukan seperti Milan yang kembali dan Lazio memiliki kualiti untuk kekal di sana. Segalanya boleh berubah dalam satu masa.”
Pemain tengah Sepanyol, Borja Valero membuka jaringan bagi Inter selepas 36 minit ketika dia menyudahkan hantaran lintang Antonio Candreva dengan Ivan Perisic menjaringkan gol kedua dari luar petak pada pertengahan separuh masa kedua.
Pemain gantian, Giampaolo Pazzini menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi sepakan penalti selepas campur tangan dari video bantuan pengadil (VAR).
Spalletti memuji kapten pasukan Mauro Icardi biarpun kegagalannya untuk menjaringkan gol.
“Orang ramai menggambarkan permainannya berdasarkan jaringan tetapi apabila dia beraksi dan beraksi dengan seluruh pasukan, dia menawarkan kelebihan terbesar bagi kami,” kata jurulatih.
“Dia sangat penting meskipun dalam perlawanan-perlawanan sukar.”
Kekalahan ketujuh musim ini meletakkan Verona di kedudukan kedua tercorot dengan hanya enam mata daripada 11 perlawanan. – AFP