MILAN, 17 APRIL – Benjamin Pavard berkata Inter Milan boleh pergi sejauh yang mereka mahu selepas pertahanan Perancis itu membantu Inter ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Inter akan menentang Barcelona dalam empat perlawanan terakhir dengan sebahagian besar sumbangan kemenangan adalah daripada tandukan Pavard pada minit ke-61 di San Siro.
Tandukan Pavard memastikan Inter melalui agregat 4-3 dan mengekalkan impiannya untuk memenangi treble termasuk liga Serie A, Liga Juara-Juara dan Piala Itali.
“Kami tidak meletakkan sebarang had untuk sejauh mana kami boleh pergi. Kami mempunyai skuad yang hebat dengan pemain yang sangat bagus dan kakitangan yang hebat,” kata Pavard.
“Tiada had, kami mahu menang dan kami mahu melaluinya.”
Sementara rakan sepasukan Pavard, Marcus Thuram mengakui bahawa seluruh pemain Inter, “semuanya seperti mati kepenatan” setelah permainan tamat selepas malam yang mendebarkan dalam keadaan berendam dan bergelora akibat hujan di Milan.
Thomas Mueller berkata bahawa pasukannya, Bayern kecewa tidak bertanding pada perlawanan akhir di stadium rumah mereka di Munich selepas Jerman gagal menewaskan Inter di San Siro buat kali pertama.
“Kami telah beri segala-galanya. Kami menentang pasukan terbaik di Itali yang hanya melepaskan dua gol dalam Liga Juara-Juara sebelum berdepan kami,” kata Muller kepada DAZN.
“Saya melihat pemain lain yang berjuang di atas padang dengan sepenuh tenaga. Penyokong juga melihat bahawa kami beri segala-galanya. Sayang sekali bagi kami kerana perlawanan akhir di Munich, tetapi Liga Juara-Juara bukanlah sesuatu yang mudah.” – AFP
