Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Internet dipulihkan, sekolah dibuka semula selepas pertempuran etnik di India

    NEW DELHI, 17 SEPT – Sekolah di negeri Manipur di timur laut India dibuka semula hari ini, lebih seminggu selepas ditutup akibat keganasan etnik yang membawa maut dan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis, kata kerajaan tempatan.

    Pertempuran tercetus di Manipur pada Mei 2023 antara etnik majoriti Meitei yang beragama Hindu dan komuniti Kuki yang kebanyakannya beragama Kristian, konflik etnik yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 200 orang.

    Sejak itu, masyarakat telah berpecah kepada kumpulan-kumpulan yang bersaing di seluruh kawasan timur laut negeri itu, yang bersempadan dengan Myanmar yang dilanda perang.

    Selepas beberapa bulan yang tenang, peningkatan keganasan bulan ini menyaksikan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, termasuk oleh pemberontak yang dilaporkan menembak roket dan menggugurkan bom menggunakan dron.

    Demonstrasi berikutnya oleh pelajar Meitei yang membantah pertempuran di ibu negeri Imphal bertukar menjadi ganas, mendorong pihak berkuasa mengeluarkan perintah berkurung dan penutupan perkhidmatan Internet di beberapa kawasan negeri itu.

    Keganasan telah reda, dan satu perintah kerajaan menyatakan ‘kelas biasa akan disambung semula untuk semua sekolah di negeri ini’ mulai hari ini, sehari selepas perkhidmatan Internet dipulihkan.

    “Saya menggesa semua orang menggunakan Internet dengan bertanggungjawab,” kata ketua menteri negeri, Biren Singh. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda