Wednesday, April 2, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Internet of Things (IoT) hasil teknologi hebat

    KUALA LUMPUR – Bayangkan mesin layan diri di tempat kerja anda menghantar isyarat bukan sahaja apabila bekalan berkurangan malah secara terus kepada pengilang apabila berlaku kerosakan. Malah apabila anda kehabisan sabun mencuci pakaian dan dengan hanya menekan butang, pek baru sabun itu secara automatik dipesan dalam talian daripada kedai runcit anda dan kemudiannya dihantar kepada anda di rumah.

    Yang menariknya, semua ini dilakukan hasil teknologi hebat, Internet of Things atau singkatannya IoT dan kemajuan ini semakin mendapat perhatian. Daripada jam tangan pintar kepada termostat dan malahan peti sejuk, IoT dijangka dipakai secara meluas dalam beberapa tahun akan datang.

    Syarikat perniagaan juga dilaporkan mula mengambil manfaat IoT untuk meningkatkan daya pengeluaran serta kecekapan. IoT bukan sahaja untuk menjimatkan wang serta masa dan bukan juga mahu menjadikan bandar pintar. Ia lebih kepada menjadikan apa yang ada di keliling kita “bijak”. Ia juga tentang perubahan dan anjakan paradigm. Keperluan menghasilkan barangan serta perkhidmatan yang “bijak” akan timbul apabila kita menjadikan apa yang ada di persekitaran kita sebagai bijak.

    Jadi, IoT itu merujuk kepada ‘perkara’ apa?

    Dalam konteks ini, ‘perkara’ merujuk kepada mesin/peranti yang dipasang dengan penderia serta elektronik yang mengumpul, menyimpan serta menganalisis data tanpa interaksi manusia. Kesemua mesin/peranti ini dihubungkan kepada Internet memandangkan data boleh dimuat naik serta diproses, perisian dan aplikasi boleh dimuat turun dan dikemaskini.

    Daripada jam tangan pintar kepada termostat dan malahan peti sejuk, IoT dijangka dipakai secara meluas dalam beberapa tahun akan datang.
    Daripada jam tangan pintar kepada termostat dan malahan peti sejuk, IoT dijangka dipakai secara meluas dalam beberapa tahun akan datang.

    Semuanya boleh diakses dan dikawal dari mana-mana tempat. Boleh dikatakan hampir semua yang ada di sekeliling kita berpotensi dihubungkan dengan mesin/peranti lain. Pada dasarnya, inilah yang dikatakan sebagai IoT.

    Firma perunding teknologi Gartner Inc. mengunjurkan 6.4 bilion mesin/peranti digunakan di seluruh dunia pada 2016, meningkat 30 peratus dari tahun 2015. Jumlah ini dijangka meningkat lebih daripada tiga kali ganda kepada hampir 21 bilion pada 2020.

    John Thomas Chambers, pengerusi eksekutif dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cisco, mengumumkan akan terdapat 50 bilion peranti dalam talian dalam tempoh lima tahun bernilai AS$19 trilion. Teknologi ini serta kesambungannya membolehkan mesin mengumpul serta berkongsi data tanpa memerlukan campur tangan manusia.

    Keberkesanan IoT

    Sila lihat apa lagi yang boleh IoT lakukan. Cisco memberi contoh seorang kakitangan yang tidur dan menerima emel memaklumkan janji temunya dilewatkan selama 45 minit. Emel itu kemudiannya disalurkan kepada jam locengnya untuk meminda masa untuk dia bangun.

    Apabila loceng jam berbunyi, ia turut menghantar isyarat kepada mesin kopi untuk memasak air kopi di samping memberi isyarat kepada kereta untuk memulakan penyahbekuan lapisan ais yang terbentuk di cermin tingkap kereta.

    IoT bukan sahaja berfungsi untuk tempat kerja dan rumah kediaman. Peranti pintar ini sudah mula melakukan perubahan besar dalam cara kita tinggal di rumah dan tempat kerja.

    Syarikat perniagaan juga dilaporkan mula mengambil manfaat IoT untuk meningkatkan daya pengeluaran serta kecekapan.
    Syarikat perniagaan juga dilaporkan mula mengambil manfaat IoT untuk meningkatkan daya pengeluaran serta kecekapan.
    Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan daripada terus menikmati perkembangan sistem teknologi yang semakin hebat.
    Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan daripada terus menikmati perkembangan sistem teknologi yang semakin hebat.

    Mesin pintar ini juga membawa perubahan kepada penjagaan kesihatan, industri pengangkutan, pertanian, pembangunan bandar dan pekan, pengilangan, pembinaan dan malahan sukan, pada peringkat makro. Untuk semua yang dihubungkan kepada Internet, sering timbul pertikaian mengenai langkah keselamatan untuk melindungi maklumat atau data yang disimpan.

    Penggodam dengan mudah boleh memecah masuk ke dalam sistem untuk mencuri data yang disimpan di Internet dan menguasai maklumat individu serta kehidupan mereka. Ini terutamanya apabila menggunakan perkakas rumah yang berasaskan teknologi, pengangkutan malahan perkhidmatan awam.

    Bebas daripada kerosakan

    Kerosakan teknologi dan Internet banyak berlaku pada hari ini terutamanya apabila tidak ada sistem dijamin akan bebas daripada kerosakan. Sekiranya penggodam berjaya dengan muslihat jahatnya dan data diakses, ia boleh mendatangkan bencana.

    Serangan seperti itu menjadi semakin mudah kerana peranti dan mesin di sekitar kita menjadi semakin ‘pintar’. Mesin seperti pembuat kopi, peti ais dan mesin basuh yang kita beli, secara langsung menambah lebih banyak sistem komputer kepada Internet.

    Bagaimanapun, apakah pembuat kopi, peti ais serta mesin basuh dilindungi daripada perisian yang boleh merosakkan sistem komputer atau ‘malware’. Sistem keselamatan yang kukuh akan dapat mengelakkan keadaan itu daripada berlaku.

    Bagaimanapun, pendidikan serta maklumat mengenai amalan terbaik untuk menangani isu ini boleh membantu melindungi data peribadi yang dikumpul daripada produk IoT. Pelanggan serta perniagaan perlu menukar secara kerap kata laluan peranti mereka, yang menjadi punca paling biasa keselamatan dicerobohi.

    Selain berhati-hati dalam penyimpanan data, kita juga perlu mengambil langkah yang perlu untuk menjamin data yang kita kongsi dilindungi dengan baik. Rumusan yang boleh dibuat, IOT mempunyai banyak potensi terutama apabila objek fizikal boleh dihubungkan kepada Internet dan memberi banyak manfaat kepada kehidupan serta rumah kediaman kita. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda