KENINGAU, 8 OKT – Selepas puluhan tahun menunggu, kini lebih 1,000 penduduk di Kampung Kindasan dan Kampung Malaing di sini serta kampung di sekitarnya dapat berhubung dengan dunia luar melalui capaian Internet yang disediakan kerajaan, sekali gus mengubah kehidupan mereka.
Ketua Kampung Malaing dan Karamatoi Ulu Jaffar Rapan, 62, berkata capaian Internet melalui sistem Starlink yang dipasang di Sekolah Kebangsaan (SK) Malaing itu memberi manfaat sangat besar kepada penduduk kampung yang sebelum ini terpaksa keluar sejauh 40 kilometer dari tempat mereka untuk mendapatkan talian komunikasi dan Internet.
“Sebelum ini, kami penduduk di sini bagaikan ‘terkurung dalam sangkar’ dan tidak tahu apa yang berlaku di luar sana, namun kini dengan adanya Internet kami boleh berhubung dengan saudara-mara atau rakan-rakan yang berada di tempat lain.
“Apa yang berlaku di luar sana juga kita boleh tahu melalui media sosial seperti Facebook, lebih-lebih lagi kini kita senang mendapat maklumat yang disebarkan melalui WhatsApp.
Namun, saya nasihatkan kepada penduduk kampung supaya tidak mudah percaya dengan apa sahaja maklumat yang disebarkan,” katanya.
Jaffar berkata sebagai ketua kampung, kini beliau mudah menghubungi agensi tertentu untuk meminta sebarang bantuan sekiranya ada berlaku sesuatu di kampung berkenaan yang terletak kira-kira 58 kilometer dari pekan Keningau.
“Sebelum ini, lokasi yang ada talian komunikasi dan Internet hanya di jalan besar dan untuk sampai ke kawasan berkenaan memerlukan tiga hingga empat jam perjalanan kerana keadaan jalan yang teruk,” katanya.
Starlink ialah sistem liputan Internet global yang menggunakan rangkaian satelit orbit Bumi rendah (LEO) untuk menyediakan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi. Starlink ialah inisiatif oleh SpaceX, yang diasaskan oleh Elon Musk pada 2002. – Bernama


