NEW DELHI, 2 Julai – Interpol hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap jutawan India dan pedagang berlian Nirav Modi, yang memperlihatkan tanda-tanda dia menjadi salah seorang suspek utama dalam skandal penipuan bernilai AS$1.8 bilion di bank utama negara tersebut.
Modi, yang dikatakan berada di London, adalah seorang pedagang barang kemas kepada bintang-bintang selebriti termasuk Naomi Watts dan Kate Winslet.
Jenama mewah beliau mempunyai kedai-kedai di beberapa bandar utama di dunia.
India bulan lalu meminta Interpol mengeluarkan notis yang digelar ‘sudut merah’ untuk membantu mengesan Modi selepas pedagang berlian yang diburu itu kali terakhir dilihat berada di Britain.
Notis ‘sudut merah’ membolehkan penahanan atau penangkapan sementara orang yang dikehendaki dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Pihak berkuasa India telah menuduh Modi dengan pengubahan wang haram dan beberapa mahkamah India telah mengeluarkan waran tangkap atas kegagalannya untuk hadir di hadapan mereka sejak dia melarikan diri dari negara ini pada bulan Februari lalu.
Modi, 47, dituduh sebagai dalang utama skandal penipuan bernilai AS$ 1.8 bilion yang melibatkan pemberi pinjaman awam kedua terbesar India, Bank Kebangsaan Punjab (PNB).
Pedagang berlian itu dianggarkan bernilai AS$1.73 bilion dan diletakkan di tempat ke-85 pada senarai orang yang terkaya di India, menurut Forbes. Sementara itu, peguamnya menafikan semua pertuduhan tersebut.
Tindakkannya untuk meninggalkan negara ini telah menyebabkan bantahan besar-besaran oleh orang awam, dengan pihak pembangkang menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi membantu dia melarikan diri. – AFP