Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Interpol: Pemerdagangan orang berkait penipuan dalam talian meningkat

    PARIS, 30 JUN – Semakin banyak negara terjejas akibat pemerdagangan orang yang berkaitan dengan buruh paksa di pusat penipuan dalam talian yang diurus secara profesional, kata Interpol hari ini, menurut agensi berita Jerman, dpa.

    Pertubuhan polis antarabangsa yang berpangkalan di Lyon, Perancis itu berkata mangsa datang dari 66 negara di semua benua.

    Interpol menyifatkan situasi ini sebagai ‘krisis global’ yang membabitkan ratusan ribu mangsa.

    Pusat penipuan itu pada asalnya terletak di beberapa negara Asia Tenggara dan analisis Interpol menunjukkan tiga daripada empat mangsa telah diperdagangkan ke rantau ini dalam tempoh lima tahun lepas.

    Bagaimanapun, penyiasat kini turut menemukan pusat penipuan di Afrika Barat, Amerika Tengah dan Timur Tengah.

    Menurut Interpol, mangsa biasanya diperdaya melalui tawaran pekerjaan palsu sebelum ditahan di kem, di mana mereka sering diugut dengan hutang palsu, dipukul, dieksploitasi secara seksual dan dalam sesetengah kes diseksa atau dirogol.

    Di dalam pusat-pusat ini, mangsa dipaksa melakukan penipuan dalam talian dengan sasaran utama mencuri wang orang lain. – Bernama

    Logo Interpol semasa Perhimpunan Agung Interpol ke-89 di Istanbul, pada 23 November 2021. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda