Oleh Nurdiyanah R. –
Tidak dapat dinafikan, tanah air kita sudah semakin diwarnai dengan pembabitan anak-anak tempatan dalam seni perfileman mahupun drama.
Pelbagai genre filem atau drama tempatan diterbitkan seiring dengan usaha bagi sama-sama memperkasakan industri kreatif berkaitan seni tersebut.
Sekitar penghujung Jun lalu, satu lagi pencapaian penggiat anak seni perfileman tempatan telah mencatat sejarah tersendiri apabila sebuah filem bergenre aksi seram berjudul Intiqam 2 Wira Budiman telah dilancarkan dan ditayangkan di One Cineplex, Pusat Beli-belah One City.
“Ia sebagai satu usaha untuk membawa inovasi serta mengangkat taraf filem tempatan ke peringkat serantau mahupun antarabangsa. Di samping memaparkan babak aksi sebagai tarikan utama filem ini, Intiqam 2 juga menyampaikan naratif yang amat mendalam dan penuh nasihat keagamaan serta menumpukan terhadap pembinaan dunia sinematik yang kami gelar sebagai Intiqamverse,” itulah antara perkongsian daripada pengarah, penerbit, pelakon dan pengasas Marhain Entertainment, Akmal Marhaen, semasa berkesempatan ditemui Media Permata.
Penerokaan filem dunia sinematik
Akmal Marhaen, ketika ditanya mengenai pemilihan filem berkonsepkan dunia sinematik berkenaan, menjelaskan bahawa dia telah menetapkan matlamatnya untuk menghasilkan filem dunia sinematik pertama di Negara Brunei Darussalam iaitu dengan mencipta Intiqamverse, sama ada secara langsung atau tidak langsung dikaitkan antara satu sama lain.
“Saya sentiasa berminat untuk bercerita sendiri dan terdedah kepada banyak medium akhirnya saya memilih filem sebagai platform untuk menceritakan karya saya. Walaupun saya mula menulis filem pertama Intiqam, saya sudah memutuskan bahawa ia akan terdiri daripada dunia sendiri dan disusuli dengan banyak sekuel,” ujarnya.
Mengimbas mengenai filem pertama yang dihasilkan iaitu Intiqam, beliau berkata ia lebih mengisahkan tentang asal usul watak utama yang ingin membalas dendam kematian abangnya dan mengambil watak hero bertopeng yang dikenali sebagai ‘Budiman’.
Oleh itu, sekuel berkenaan merupakan kesinambungan cerita watak utama di mana selepas memilih untuk menjalani kehidupan yang aman dia perlu sekali lagi kembali ke kehidupannya sebagai wira bertopeng untuk menjaga Kota Nufoz iaitu sebuah bandar fiksyen utama dalam filem tersebut.
“Kru kami termasuk pasukan meliputi penggambaran, aksi lasak seram dan seluruh pelakon semuanya adalah 100 peratus daripada warga tempatan,“ kongsinya.
Tempuhi cabaran dengan hati terbuka
Cabaran demi cabaran pasti mewarnai apa sahaja bidang yang diterokai sama ada kecil atau besarnya sebuah perjuangan itu, begitulah yang dirasai oleh Akmal sendiri dalam menghasilkan karyanya sehingga sampai ke titik membanggakan ini.
“Daripada segi bajet, kami terpaksa mencari penaja dan penggambaran untuk filem itu mengambil masa sebulan penuh. Pastinya segala yang dilakukan bukan satu tugas yang mudah tetapi ia adalah sesuatu yang diminatinya dan yang ingin dibuktikan. Di situlah letak kekuatan diri kami untuk terus bangkit tanpa memandang ke belakang,” luahnya.
Dalam pada itu, beliau juga mengutarakan bahawa sudah tiba masanya rakyat Brunei untuk percaya pada diri mereka sendiri, jika kita terus berfikir dan mempunyai pemikiran bahawa industri perfileman tidak mempunyai pasaran dan minat terhadap filem tempatan maka ia akan kekal begitu sahaja.
“Jadi mengapa tidak kita genggam cabaran dengan terus mencuba? Bayangkan kerja pertama awda mungkin satu usaha yang baik, kemudian apabila awda terus melakukan percubaan kedua dan seterusnya dengan penuh komitmen dan kesungguhan. Pasti cepat atau lambat, awda akan merasai keindahannya jika hasil kerja yang awda lakukan selama ini mendapat sokongan dan penghargaan yang tidak disangka-sangka,” ujarnya yang turut menambah jangan sesekali pernah berputus asa.
Kemampuan anak Brunei
Di akhir pertemuan bersama Media Permata, Akmal turut mengungkapkan kesyukuran apabila sehingga kini masyarakat di negara ini dapat menerima dan menghargai bakat pelakon dan kru di bawah filem produksi beliau dalam sama-sama menyumbang industri kreatif tanah air.
Intiqam 2 Wira Budiman adalah filem keempat dalam dunia sinematik Intiqamverse dimulai dengan Intiqam (2021), Zidan dan Thiya’s Case 1 yang kesemuanya boleh ditonton melalui aplikasi Progresif Media.