Friday, March 21, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Intiqam 2 Wira Budiman dilancar

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Satu lagi pencapaian penggiat anak seni perfileman tempatan dicatat apabila sebuah filem bergenre aksi seram berjudul Intiqam 2 Wira Budiman telah dilancarkan dan ditayangkan buat julung kalinya di One Cineplex, Pusat Beli-belah One City, malam kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara Malam Gala Premiere: Intiqam 2 Wira Budiman sekali gus merasmikan filem kedua arahan Akmal Marhain itu ialah Pengarah Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Ummi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

    Filem berkenaan merupakan hasil terbitan Marhain Entertainment bersama inisiatif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) melalui program Pitch and Produce 3.0 serta disokong oleh Progresif Media.

    Seramai 170 orang yang turut hadir bagi sama-sama menyokong filem tempatan itu, terdiri daripada artis tempatan, pelakon-pelakon filem Intiqam 2, para kru Marhain Entertainment, pegawai-pegawai dari AITI dan Progresif Media serta ahli keluarga dan sahabat terdekat.

    Pengasas Marhain Entertainment, Akmal Marhain antara lain mengongsikan bahawa filem tersebut pastinya membawa nafas baharu dalam industri filem tanah air. Lebih-lebih lagi, dengan babak-babak aksi serta adegan lagak ngeri yang diketengahkan oleh para pelakon dalam filem tersebut.

    “Ia sebagai satu usaha untuk membawa inovasi serta mengangkat taraf filem tempatan ke taraf serantau mahupun antarabangsa.

    “Di samping memaparkan babak aksi sebagai tarikan utama filem ini, Intiqam 2 juga menyampaikan naratif yang amat mendalam dan penuh nasihat keagamaan serta menumpukan terhadap pembinaan dunia sinematik yang kami gelar sebagai IntiqamVerse,” ujarnya.

    Intiqam 2 Wira Budiman adalah filem keempat dalam dunia sinematik IntiqamVerse dimulai dengan Intiqam (2021), Zidan dan Thiya’s Case 1 yang kesemuanya boleh ditonton melalui aplikasi Progresif Media.

    Dayang Ummi Kalthum bergambar bersama Akmal Marhain semasa perasmian filem Intiqam 2 Wira Budiman di One Cineplex, Pusat Beli-belah One City, kelmarin. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Antara yang hadir menyaksikan tayangan perdana filem tersebut pada malam kelmarin. – Gambar oleh Nurdiyanah R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda