Intracorp komited langkah pencegahan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Intracorp (B) Sdn Bhd

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Intracorp (B) Sdn Bhd, penjual barangan elektronik unggul turut memainkan peranan tanggungjawab sosial dan memupuk budaya langkah-langkah pencegahan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Intracorp (B) Sdn Bhd, di sini, hari ini, syarikat berkenaan menggalakkan para pelanggan mereka untuk meneroka kaedah pembelian di luar cawangan yang disediakan dan pada masa yang sama, telah melaksanakan langkah-langkah kesihatan serta penjarakan sosial di semua cawangannya untuk memastikan mereka yang berkunjung ke cawangannya merasa selesa.

Di samping itu, mereka juga telah meningkatkan lagi kapasiti pasukan logistiknya bagi memastikan bahawa mereka mampu untuk memenuhi permintaan penghantaran yang meningkat.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa standard perkhidmatan, kebersihan dan profesionalisme setiap anggota pasukan mereka juga sentiasa di tahap yang tinggi yang diakui oleh jumlah pelanggan yang menyatakan amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan serta akan terus memberikan keyakinan kepada pelanggan mereka.

Bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang, Intracorp bersama-sama dengan jenama rakan kongsinya iaitu Samsung, Beko, Philips, Mistral, Mayer, Kitchenaid dan Akira akan melancarkan Kempen Stay Home Stay Safe bermula 19 April hingga 12 Julai di mana pihak syarikat mengambil pendekatan aktif dalam menggalakkan pelanggan-pelanggan dan penyokong mereka untuk terus tinggal di rumah dan terus selamat serta bersama-sama menentang pandemik global berkenaan.

Intracorp membuat garisan di lantai bagi memastikan penjarakan sosial di cawangannya.
Pelbagai langkah yang dikendalikan oleh Intracorp untuk memastikan amalan penjarakan sosial dan melaksanakan langkah kebersihan yang ketat.

Kenyataan menyatakan bahawa selain daripada pelbagai tawaran harga menarik dan diskaun yang diperkenalkan menerusi saluran pembelian luar cawangan, terdapat juga peraduan dalam talian yang menarik dikendalikan.

Peraduan StayHomeStaySafe Intracorp akan menguji para pelanggan untuk mengetengahkan tip bagi menangani kebosanan apabila tinggal di rumah dan Intracorp juga berkongsi beberapa tip mereka tersendiri.

Manakala itu, Cabaran Makanan 30 Hari Mayer pula akan menggalakkan semua bakal cef di rumah untuk melangkah ke dalam dapur mereka semasa tempoh berkenaan bagi mengetengahkan masakan terbaik masing-masing.

Sementara itu, Peraduan Dalam Talian LiveLikeAPro Beko adalah untuk mencurahkan ilmu pengetahuan mengenai bagaimana untuk hidup secara sihat sambil memberikan peluang kepada pelanggan mereka untuk memenangi hadiah-hadiah menarik.

Intracorp bersama rakan-rakan kongsinya berusaha untuk menawarkan barangan elektronik yang terbaik kepada pelanggan tanpa perlu untuk meninggalkan rumah mereka.