Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Sebagai memeriahkan pembuka tahun baharu, Boustead Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan Nissan di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan acara perhimpunan eksklusif bersama lebih 30 ahli Kelab Nissan Terra Brunei yang berlangsung di bilik pameran syarikat berkenaan, baru-baru ini.
Acara perhimpunan yang menekankan prosedur operasi standard (SOP) itu dimeriahkan dengan pratonton eksklusif Nissan Terra baharu yang mana perasmiannya disempurnakan oleh Penolong Pengurus Jualan Nissan, Haji Shahrum bersama Awang Nazreen selaku wakil dari Kelab Nissan Terra Brunei.
Ahli kelab berkenaan berpeluang menyaksikan keistimewaan keluaran kenderaan baharu itu yang dinaik taraf dengan reka bentuk unggul terkini meliputi bahagian dalam dan luar untuk memberikan ciri keselamatan, hiburan dan ciri premium terbaik untuk pengembaraan seisi keluarga.
Tampil dengan dua varian iaitu gred 2WD High dan 4WD Premium seperti keluaran generasi sebelumnya, Nissan Terra dikuasakan enjin 2.5L Turbocharged Diesel mampu menjana kuasa maksimum 188HP dan tork maksimum 450Nm, yang memberikan prestasi pecutan terbaik, dengan pemanduan yang lancar dan berkuasa.
Bahagian dalamannya pula telah dipertingkatkan dengan ciri hiburan baharu untuk memastikan seisi keluarga terhibur semasa dalam perjalanan.
Ini termasuk sistem AIVI sembilan inci baharu untuk gred Premium yang menawarkan sistem navigasi terkini dan aplikasi hiburan yang dapat dinikmati para pengguna sepenuhnya.
Imej luaran direka bentuk semula kepada penampilan yang lebih elegan dan mengagumkan dengan tambahan baharu seperti Quad LED Projector Headlights dan LED Daytime Running Lights serta LED Tail Lamps yang sekali gus melengkapkan keseluruhan imej SUV premium.
