Intu berdepan cabaran sukar

LONDON, 26 JUN – Pusat membeli-belah gergasi Britain, Intu, yang berdepan kesukaran sebelum perintah lockdown dikenakan lagi, memberi amaran hari ini bahawa gergasi itu kini berdepan dengan kemerosotan selepas perbincangan semula penyusunan strategi kewangan bagi mengimbangi kestabilan syarikat menemui kegagalan.

Syarikat yang memiliki 17 pusat membeli-belah gergasi termasuk MetroCentre dan Trafford Center di utara England dan Lakeside di tenggara, sedang berusaha untuk meneruskan perbincangan dengan pemiutang sebelum tarikh akhir tengah malam.

Intu menggajikan kira-kira 2,500 kakitangan tetapi 100,000 lagi bekerja di kedai dan restoran di dalam kemudahannya, sementara 30,000 lagi terlibat di bahagian bekalan.

Pusat membeli-belah di Britain terpaksa ditutup hampir selama tiga bulan selepas kerajaan mengenakan perintah lockdown di seluruh negara pada 23 Mac dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 – menyebakan Intu yang selama ini mengalami masalah berdepan cabaran yang lebih sukar tatkala orang ramai kini cenderung berbelanja dalam talian.

Sekatan lockdown mula dilonggarkan secara perlahan-lahan pada bulan ini tetapi nampaknya sudah terlambat untuk menyelamatkan Intu. Dalam satu kenyataan hari ini, Intu mengumumkan bahawa ‘penjajaran dan persetujuan yang tidak mencukupi telah dicapai’ dengan pemiutang.

“Oleh itu lembaga mempertimbangkan kedudukan Intu dengan tujuan untuk melindungi kepentingan para pemegang kepentingannya,” tambahnya. – AFP