Penyanyi Inul Daratista antara individu paling rapat dengan Allahyarham Titiek Puspa ketika hayat bintang legenda itu.
Banyak berkongsi nasihat tentang dunia seni, kata Inul arwah juga tidak lokek memberi hadiah buat dirinya.
Paling istimewa adalah pemberian barangan kemas yang diterima sejak lebih 20 tahun lalu, lapor mStar.
Bahkan menurut Inul, ibunya juga pernah mendapat hadiah serupa daripada Titiek.
“Ibu saya juga mendapat gelang tangan. Gelang yang diberi itu besar sangat. Jadi ibu saya juga bersedih dengan kehilangan Eyang (panggilan Titiek).

“Gelang yang pertama dia berikan adalah pada 23 tahun dahulu. Saya masih pakai. Jika kotor akan hantar cuci di kedai emas,” katanya.
Menjaga rapi setiap pemberian itu, Inul juga sama sekali tidak terfikir untuk mengadaikan barang kemas berkenaan meskipun harga jualan semakin tinggi.
“Sekarang semua ini jadi kenangan dan tidak akan saya jual. Dia sangat suka memberi hadiah barang kemas.
“Saya akan simpan semuanya. Jika rindu saya akan pakai. Jika saya tukar barangan ini ia akan jadi kenangan berbeza,” ujarnya.
Allahyarham Titiek menghembuskan nafas terakhir pada 10 April lalu ketika usia 87 tahun. – Agensi