ROME, 4 JUN – Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi, akan meninggalkan kelab tersebut selepas empat tahun dengan persetujuan bersama, kelab itu mengumumkan kelmarin, ketika media Itali melaporkan dia bakal berpindah ke Arab Saudi.
“Kelab dan Simone Inzaghi berpisah. Ini adalah keputusan yang diambil atas persetujuan bersama,” kata Inter dalam satu kenyataan.
Inter dan Inzaghi kedua-duanya berkata keputusan itu telah dibuat pada pertemuan yang melibatkan jurulatih dan Presiden kelab, Giuseppe Marotta, pada petang kelmarin.
Perpisahan itu berlaku hanya beberapa hari selepas kekalahan 5-0 Sabtu lalu oleh Paris Saint-Germain dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
Perbincangan berkisar tentang pemergiannya dan bulan lalu Inzaghi menepis khabar angin mengenai perjanjian dua tahun dengan kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal, bernilai 50 juta euro.
Media Itali berkata kelmarin laporan itu telah disahkan.
Inzaghi mengambil alih Inter pada 2021 dan mempunyai kontrak sehingga 2026. – AFP
