GENEVA, 3 FEB – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)meningkatkan usahanya kelmarin untuk menjelaskan kedudukannya dalam usaha membantu atlet Rusia melayakkan diri menyertai Sukan Olimpik Paris tahun depan di tengah-tengah tindak balas dari Ukraine dan sekutunya.
Langkah IOC pada minggu lalu untuk memetakan laluan ke Paris untuk atlet dari Rusia dan Belarus yang tidak menyokong perang secara aktif menimbulkan bantahan keras dari Ukraine, yang mahu melihat negara-negara tersebut kekal diharamkan daripada kebanyakan sukan antarabangsa.
IOC sekali lagi memetik pendapat dua pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menyokong pandangan bahawa rakyat Rusia dan Belarus tidak seharusnya menghadapi diskriminasi hanya untuk pasport yang dipegang mereka. Sebaliknya, mereka boleh bersaing di bawah bendera neutral.
Pandangan itu telah dicabar sejak beberapa hari kebelakangan ini oleh dua pemenang pingat Ukraine di Sukan Olimpik Tokyo, pemain tenis Elina Svitolina dan pelompat tinggi Yaroslava Mahuchikh, dan petinju Wladimir Klitschko, yang meraih emas di Sukan Olimpik Atlanta 1996. Mereka mahukan larangan sepenuhnya ke atas Rusia dan Belarus dari Paris.
Pegawai Olimpik di Ukraine telah memberi amaran bahawa mereka boleh memboikot Paris dan akan bertemu pada Jumaat untuk membincangkannya.
Pegawai Olimpik di Latvia dan Poland juga mengancam boikot, dan negara-negara tersebut disertai oleh Estonia dan Lithuania dalam satu kenyataan Khamis oleh Menteri Sukan yang mencadangkan debat sukan digunakan ‘sebagai gangguan daripada pencerobohan haram terhadap Ukraine.’
“Tiada sekatan PBB dikenakan terhadap Rusia dan Belarus pada masa ini,” kata IOC.
Rusia, sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan PBB, boleh memveto mana-mana resolusi yang dicadangkan. – AP
