ISLAM QALA, 30 JUN – Lebih 230,000 warga Afghanistan telah meninggalkan Iran pada bulan Jun, kebanyakan daripada mereka dihantar pulang, ketika jumlah kepulangan meningkat menjelang tarikh akhir yang ditetapkan oleh Tehran, kata agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Jumlah kepulangan dari Iran turut meningkat secara mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Warga Afghanistan melaporkan peningkatan deportasi menjelang tarikh akhir pada 6 Julai yang diumumkan oleh negara Iran bagi warga Afghanistan yang tidak mempunyai dokumen yang sah bagi meninggalkan negara itu.
Menurut jurucakap Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), Avand Azeez Agha kepada AFP, dari 1 hingga 28 Jun lalu, seramai 233,941 orang telah kembali dari Iran ke Afghanistan, dengan 131,912 kepulangan dicatat hanya dalam tempoh seminggu dari 21 hingga 28 Jun.
“Sejak Januari, 691,049 orang telah kembali dan 70 peratus daripada mereka telah diusir secara paksa,” tambah beliau.

Menurut IOM, dalam tempoh beberapa hari minggu lalu, jumlah yang kembali mencecah 30,000 orang sehari dan angka itu dijangka terus meningkat menjelang tarikh akhir.
PBB turut melaporkan kepulangan terkini menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah keluarga yang kembali, bukan hanya individu, dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak membawa beg berisi semua barangan peribadi mereka.
Pakistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadi salah satu negara yang menerima pelarian Afghanistan akibat konflik dan krisis kemanusiaan.
Pemotongan bantuan antarabangsa turut menjejaskan tindak balas PBB dan NGO, dengan IOM menyatakan mereka ‘hanya mampu membantu sebahagian kecil daripada mereka yang memerlukan.’
“Ketidakstabilan serantau,khususnya kesan daripada konflik Iran-Israel serta perubahan dasar negara telah mempercepatkan gelombang kepulangan, sekali gus membebankan sistem kemanusiaan dan pembangunan Afghanistan,” kata Misi PBB di Afghanistan dalam satu kenyataan. – AFP

