BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam, hari ini, telah melancarkan Rangkaian Profesional India Luar Negara (IOPN) yang merupakan plaform outreach bagi profesional India di luar negara yang menetap di Negara Brunei Darussalam.
Menurut yang dikeluarkan, pelancarannya telah diadakan pada majlis terhad di suruhanjaya tinggi berkenaan dan dihadiri oleh ahli-ahli IOPN dan profesional India terkenal lain yang berkhidmat di negara ini.
Melancarkan IOPN ketika India meraikan Azadi ka Amrit Mahotsav ialah Pesuruhjaya India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar yang memuji ahli-ahli IOPN bagi inisiatif berkenaan dan menekankan bahawa ia bukan sahaja bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan penglibatan dua hala antara India dan Brunei malah memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada matlamat pembangunan negara ini.
Kenyataan menjelaskan, IOPN dilancarkan dengan misi untuk membantu ahli-ahlinya mengembangkan hubungan dan memupuk kerjasama sesama mereka dan dengan profesional lain di Negara Brunei Darussalam, India dan global.
Rangkaian berkenaan akan menyokong aktiviti-aktiviti seperti perkongsian amalan-amalan terbaik, meneroka idea-idea, kerjasama dalam projek-projek penting dan pembangunan pendidikan.
Dalam jangka masa panjang, platform berkenaan bermatlamat untuk mewujudkan peluang bagi para profesional berkenaan menyokong Wawasan Brunei 2035 iaitu membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Aktiviti-aktiviti berkenaan, tambah kenyataan, pada awalnya akan memfokuskan terhadap bidang-bidang penting termasuk perubatan, tenaga, pendidikan, teknologi maklumat, sumber-sumber utama, pelancongan dan keusahawanan.
