ALOR GAJAH – Penggunaan teknologi Internet pelbagai benda (IoT) nyata mengubah kehidupan Ssjn (B) Mohd Shah A. Rahman, 43, daripada seorang pesara tentera kepada petani moden.
Selepas bersara daripada perkhidmatan keselamatan itu pada 2022, beliau menceburi bidang pertanian fertigasi secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Sungai Tuang di sini dengan modal sebanyak RM1,300, sebelum berpakat dengan seorang rakan untuk membuka sebuah kebun sayur, juga menggunakan teknik penanaman sama.
“Saya menanam kira-kira 2,000 polibeg terung, namun kerana kurang ilmu, ia tak berapa menjadi menyebabkan saya kerugian. Saya kemudian menyertai kursus anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menambah pengetahuan mengenai pertanian secara fertigasi ini.
“Selepas itu saya ditawarkan untuk menyewa tapak fertigasi di Pusat Rujukan Teknologi Tinggi di Pejabat FAMA Alor Gajah pada Mei lepas dan alhamdulillah, pusat ini mempunyai kemudahan IoT yang banyak memudahkan urusan saya memantau aktiviti pertanian,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat rujukan itu di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shah berkata Pusat Rujukan Teknologi Tinggi berkenaan menawarkan kelengkapan fertigasi menyeluruh, seperti sistem pengairan menggunakan batang paip yang disambung secara terus ke tangki air dan pancang, selain IoT yang memudahkan beliau memantau campuran baja, tahap pH air dan sebagainya.
“Menerusi sistem berkenaan, saya tidak perlu lagi mengeluarkan tenaga yang banyak untuk memantau hasil pertanian. Semuanya boleh dipantau menggunakan aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar dan banyak masa saya boleh habiskan dengan keluarga di rumah.
“Malah baru-baru ini, ketika terpaksa menjaga ibu di hospital, tiga hari saya tak datang jenguk kebun, tetapi sistem IoT berkenaan membantu saya membuat pemantauan dan ia ‘bekerja’ sendiri untuk mencampurkan baja serta menyiram 560 polibeg pokok terung dan cili yang diusahakan di pusat rujukan itu,” katanya.
Bapa kepada empat anak berusia 6 hingga 11 tahun itu yang juga peserta Ladang Kontrak FAMA berkata pada musim lepas, beliau berjaya menuai kira-kira 1.5 tan terung selepas anak pokok mencapai tahap matang dalam tempoh 45 hari selepas ditanam.
Beliau berkata menerusi penggunaan IoT juga, FAMA dapat memantau secara langsung perkembangan aktiviti pertaniannya menerusi perkongsian aplikasi yang disertakan dengan teknologi terbabit.
“Kadang-kadang saya dapat juga panggilan daripada Pengarah FAMA Melaka (Nor Azhar Abdul Hamid) yang sering memantau aktiviti pertanian saya menggunakan telefon bimbitnya jika mendapati ada perkara yang tidak kena … contohnya, seperti campuran baja tidak tepat dan sebagainya.
“Menerusi khidmat nasihat secara langsung ini, ia sekali gus memberi peluang kepada saya untuk menambah ilmu dalam bidang pertanian dan teknologi dari semasa ke semasa,” katanya sambil menambah beliau kini memasuki musim kedua penanaman di pusat berkenaan dengan tanaman terung dan cili.
Mohd Shah berkata antara kelebihan lain menggunakan IoT termasuklah dapat menjimatkan kos tenaga kerja kerana ia boleh dilakukan seorang diri dan tidak bergantung kepada pekerja asing.
Sementara itu, Nor Azhar berkata teknologi IoT berkenaan dibeli dari Itali dan ia merupakan kali pertama diperkenalkan di Melaka pada tahun ini.
Beliau berkata FAMA kini memantau perkembangan penggunaan teknologi itu sebagai projek perintis agensi berkenaan dan mungkin akan dikembangkan lagi pada masa akan datang jika hasil diberikan adalah positif.
“Menerusi penggunaan IoT ini, FAMA Melaka dapat memantau secara langsung aktiviti pertanian dan memberi khidmat nasihat secara terus kepada petani untuk menambah baik aktiviti pertanian mereka,” katanya. – Bernama