KUALA LUMPUR, 24 Mac – Indeks Pelopor (IP) yang memantau prestasi ekonomi ke hadapan, mencatat pertumbuhan sebanyak 0.7 peratus kepada 117.8 mata pada Januari 2017 daripada 117.0 mata pada bulan sebelumnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan berkata peningkatan itu didorong oleh jangkaan nilai jualan dalam sektor pembuatan (0.9 peratus), Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.4 peratus), bilangan syarikat baharu didaftar (0.4 peratus) dan import benar semikonduktor (0.2 peratus).
Menurut jabatan itu, perubahan tahunan IP juga terus meningkat kepada 0.2 peratus pada bulan rujukan berkenaan.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur aktiviti ekonomi semasa, menurun 0.6 peratus pada Januari 2017.
Dua komponen IS yang mencatatkan peratus penurunan tertinggi adalah gaji dan upah benar dalam sektor pembuatan (-0.3 peratus) dan kapasiti penggunaan di sektor pembuatan (-0.2%), kata jabatan berkenaan.
Bagaimanapun, perubahan tahunan IS meningkat 1.6 peratus pada bulan semasa.
Menurut jabatan itu, IP dan IS menunjukkan perubahan tahunan yang positif pada Januari 2017.
Ekonomi Malaysia juga dijangka akan terus berkembang positif dalam tempoh terdekat, didorong oleh kedua-dua Indeks Difusi melebihi 50.0 peratus. – Bernama