Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Sebagai menandakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang tadbir urus, kepimpinan dan kecemerlangan perkhidmatan awam, Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Perkhidmatan Awam (IPA) dan Chandler Institute of Governance (CIG) telah diadakan di IPA, hari ini.
Hadir pada majlis itu dan menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.
Pada majlis berkenaan, Pengarah IPA, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penandatanganan MoU itu merupakan peristiwa bersejarah bagi IPA dalam usaha untuk memperkukuhkan peranannya memacu transformasi perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam.
Beliau juga menyatakan perkhidmatan awam yang berkeupayaan dan siaga masa depan adalah amat penting dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
“Keupayaan para pegawai kita untuk memimpin dengan integriti, berinovasi dengan berkeyakinan dan menyampaikan perkhidmatan dengan efektif amat mustahak dalam merealisasikan wawasan negara itu,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kerjasama tersebut, Dr Hajah Noor Maya berkata ia menyokong aspirasi IPA untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan diiktiraf serta pada masa yang sama mengukuhkan kapasiti penjawat awam supaya dapat menyumbang dengan lebih baik ke arah pembangunan negara.
MoU itu juga menyediakan CIG dengan landasan berharga untuk mendalami penglibatan dalam rantau ini dengan memanfaatkan pengalaman tadbir urus Brunei serta bersama-sama membangunkan penyelesaian.
Menerusi kolaborasi itu, tambahnya, kedua-dua buah institusi akan meraih manfaat bersama serta kesan berpanjangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi CIG, Wu Wei Neng menyatakan di bawah MoU itu, CIG dan IPA akan meluaskan kerjasamanya dalam program latihan dan projek untuk mengukuhkan keupayaan sektor awam, dengan potensi untuk berkembang menjadi inisiatif serantau yang disesuaikan untuk negara anggota ASEAN dan rakan kongsi lain.
Kedua-dua organisasi juga akan meneroka laluan tambahan untuk pertukaran pengetahuan, termasuk lawatan sambil belajar dan aktiviti penyelidikan untuk menyokong pembelajaran dan pembangunan.
Majlis seterusnya menyaksikan penandatangan MoU dengan menandatangani bagi pihak IPA ialah Dr Hajah Noor Maya dan bagi pihak CIG ialah Timbalan Dekan (Program), Sin Xin Ping serta diikuti dengan pertukaran dokumen sebagai simbol melambangkan permulaan kerjasama baharu.
Majlis kemudian menyaksikan pembentangan daripada Wu Wei Neng bertajuk, Measuring Government Capabilities, yang menekankan dan mengetengahkan pendekatan praktikal dalam memperkukuh keberkesanan institusi serta meningkatkan keupayaan tadbir urus.
Acara diakhiri dengan sesi jaringan yang memberi peluang kepada para peserta untuk berbincang, bertukar pandangan dan memperluas jalinan hubungan dalam kalangan para peserta.

