KUCHING, 8 Sept – Kerajaan negeri Sarawak akan mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan cara terbaik bagi negeri ini memanfaatkan sepenuhnya Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Rajang dan Miri, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin.
Beliau berkata Sarawak berhasrat mengadakan program sendiri di IPG Rajang manakala IPG Miri lebih sesuai dijadikan sebagai pusat Latihan dan Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) berikutan kedudukannya yang dikelilingi industri.
“Saya telah ke Kuala Lumpur untuk bertemu menteri pendidikan persekutuan berhubung perkara itu tetapi beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak boleh membuat apa-apa keputusan disebabkan ini adalah keputusan kabinet untuk menjadikan IPG sebagai pusat TVET.
“Jadi beliau menasihati saya supaya meminta ketua menteri kita mengutus surat kepada perdana menteri dan kami akan berbuat demikian tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Bernama