JAKARTA, 26 FEB – Indonesia telah mencapai perjanjian dengan Apple untuk syarikat teknologi itu melabur di negara itu, lapor media tempatan hari ini, dalam langkah yang berpotensi menarik balik larangan penjualan iPhone 16 di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Pada Oktober lalu, kerajaan Indonesia melarang pemasaran dan penjualan model tersebut kerana kegagalan Apple memenuhi peraturan yang mewajibkan 40 peratus komponen telefon dibuat dari komponen tempatan.
Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita berkata hari ini bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani secara maya antara pegawai dari kementeriannya dan Apple, menurut laporan.
Apple akan membina dua fasiliti – satu di Bandung, Jawa Barat untuk menghasilkan aksesori dan satu lagi di Batam bernilai AS$150 juta untuk membantu menghasilkan Airtags melalui pembekal tempatan, lapor Bloomberg News yang memetik kenyataan menteri tersebut.
MoU itu membolehkan larangan penjualan iPhone 16 dibatalkan dengan syarat-syarat tertentu, menurut laporan itu.

Agus berkata usaha untuk kelulusan sijil kandungan tempatan bagi penjualan iPhone 16 boleh dimulakan selepas perjanjian itu ditandatangani, lapor laman berita tempatan Kompas.
Sumber kerajaan mengesahkan kepada AFP kelmarin bahawa syarat-syarat untuk menarik balik larangan telah dipersetujui, tanpa memberikan maklumat lanjut.
Apple Indonesia, Kementerian Perindustrian dan Kementerian Pelaburan tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk ulasan.
Jakarta menolak tawaran pelaburan AS$100 juta dari Apple pada bulan November, dengan alasan ia tidak memenuhi ‘keadilan’ yang diperlukan oleh kerajaan.
Kebuntuan dalam rundingan memaksa Apple kemudian menawarkan pelaburan sebanyak AS$1 bilion untuk membina kilang AirTag di negara itu.
Walaupun terdapat larangan penjualan, kerajaan membenarkan iPhone 16 dibawa masuk ke Indonesia asalkan ia tidak diperdagangkan secara komersial.
Selain itu, Indonesia juga melarang penjualan telefon Google Pixel kerana gagal memenuhi syarat 40 peratus komponen tempatan. – AFP