Thursday, November 21, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    iPhone tertanam jadi tarikan gelanggang luncur ais

    MILTON KEYS, 14 NOV- Gelanggang luncur ais bermusim di Milton Keys, England, telah mendapat perhatian ramai kerana iPhone bewarna merah jambu terang terperangkap di bawah ais setebal dua inci.

    Oddity Central melaporkan pemain-pemain luncur ais di gelanggang Willen on Ice di Milton Keys kadangkala akan tiba-tiba berhenti di tengah gelanggang ais yang luas untuk merenung sesuatu di bawah ais – sebuah iPhone merah jambu terang.

    Ia telah menjadi semacam tarikan pelancong selepas BBC dan media lain melaporkannya dalam talian.

    Iphone dengan sarung merah jambu yang tertanam di gelanggang berkenaan. – Oddity Central/BBC

    Sebenarnya salah seorang pekerja yang membina gelanggang tersebut telah kehilangan telefon pintarnya dan terpaksa meminjam iPhone anak perempuannya selama sehari tetapi tertinggal di tengah-tengah gelanggang ais sebelum ia dibanjiri air dan membeku semalaman.

    Keesokan harinya, beberapa rakan sekerjanya terjumpa telefon berkenaan semasa memeriksa ais, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain mentertawakan nasib malangnya. Tambahan lagi, memecahkan ais tersebut adalah mustahil.

    “Kami ternampak objek itu di tengah gelanggang dan apabila diperiksa lebih dekat, kami dapat melihat ia adalah telefon anak perempuan Steve,” kata Rob Cook, pengarah di syarikat gelanggang ais tersebut. “Malangnya, tidak ada cara kita akan dapat mengeluarkannya sekarang. Jika kita mencungkilnya, ia akan menjejaskan struktur ais.  Maka dengan ini, kekallah ia terkubur selama dua bulan akan datang.”

    Apa yang boleh dilakukan oleh pekerja yang pelupa itu ialah memberitahu anak perempuannya perkara sebenar dan mendapatkan telefon gantinya sehingga telefon ini boleh digali keluar.

    Seorang pekerja gelanggang menunjukkan Iphone tersebut. – Oddity Central/MK Citizen

    “Anak perempuan saya tidak gembira pada mulanya, memandangkan dia baru sahaja membeli sarung telefon berwarna merah jambu baharu itu, tetapi selepas dipujuk dan diganti dengan telefon sementara – dia okay,” kata lelaki itu. “Saya juga telah berjanji bahawa jika telefon itu tidak berfungsi sebaik sahaja ia dikeluarkan, saya akan ganti baharu.”

    Tidak jelas model iPhone itu, tetapi kamera triple padanya menunjukkan ia adalah model Pro. Jadi kakitangan gelanggang tersebut perlu memastikan bahawa tiada siapa yang cuba memecahkan ais untuk mendapatkannya, walaupun kemungkinan ia telah pun rosak akibat tenggelam dan beku. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda