Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IPPSSHHB anjur pembentangan kertas Policy Analysis Exercise

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Sebagai usaha memperkukuh perancangan dasar dan menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035, Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB) hari ini telah mengadakan sesi pembentangan lima kertas teratas Policy Analysis Exercise (PAE) bagi Program Perkembangan Eksekutif (EDP) Siri 19/2024 yang melibatkan pegawai-pegawai kanan kerajaan dalam bidang dasar awam dan pengurusan. Program anjuran Kementerian Pertahanan itu telah berlangsung di dewan kuliah institut berkenaan.

    Majlis pembentangan turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; serta Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin.

    Selain itu, majlis tersebut turut dihadiri oleh setiausaha-setia-usaha tetap, timbalan pemerintah ABDB, pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan,Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Pasuka Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah IPPSSHHB, Dayangku Dr Noor Hasharina binti Pengiran Haji Hassan, diikuti pembentangan tujuh kertas kerja terbaik yang merangkumi dua tema utama iaitu Economic Policy and Social Welfare dan Education, Technology and Wellbeing.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi hadir semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara suasana semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Panel pertama membincangkan dasar ekonomi dan kebajikan sosial melalui tiga pembentangan antaranya Addressing Long Waiting Times in Brunei Darussalam’s National Housing Scheme oleh Pengiran Khairil Bahriah binti Pengiran Haji Mohd Ali dari JPM dan Assessing The Economic Impact of Cultural & Creative Industries: A Pathway to Diversification for Brunei Darussalam yang dibentangkan oleh Haji Awang Mohammad Abdoh bin Haji Awang Damit dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Panel kedua pula memfokuskan kepada pendidikan, teknologi dan kesejahteraan dengan empat pembentangan termasuk Policy Options to Mitigate Cybercrime in Brunei Darussalam oleh Penguasa Kanan Polis, Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dari PPDB dan pembentangan peserta terbaik program, Leftenan Kolonel (U) Awang Mohamad Fazley bin Hasabullah dari ABDB, bertajuk Strengthening the Royal Brunei Air Force Mental Health for Sustained Operational Safety and Readiness.

    Sesi pembentangan ditutup dengan ucapan penutup oleh Pengarah IPPSSHHB serta penyampaian tanda penghargaan oleh Yang Berhormat Pehin kepada para pembentang.

    Semasa majlis berlangsung, IPPSSHHB turut mengedarkan penerbitan buku kompilasi tujuh kertas PAE terbaik kohort ke-19 EDP, sebagai rujukan dan sumber inspirasi dalam merangka dasar negara.

    Ini merupakan kali ketujuh sesi pembentangan lima kertas PAE teratas dianjurkan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2019.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda