Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IPT juara bola jaring sempena Hari Guru

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Pasukan IPT berjaya menewaskan Pasukan JPI 28-20 untuk muncul juara Kejohanan Bola Jaring sempena Sambutan Hari Guru ke-35 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu menyaksikan Pasukan IPT muncul johan, manakala Pasukan JPI menduduki tempat kedua dan Pasukan Rouge di tempat ketiga. Kejohanan bola jaring berkenaan merupakan salah satu aktiviti sukan dan riadah yang diadakan bagi menyemarakkan serta memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru ke-35.

    Sebanyak 12 pasukan telah menyertai kejohanan tahun ini, yang dibukakan kepada pegawai, kakitangan dan tenaga pengajar Kementerian Pendidikan dan KHEU termasuk dari Jabatan Pengajian Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan serta Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Penganjur berharap kejohanan itu dapat meningkatkan daya saing serta penglibatan aktif warga kedua-dua kementerian di samping memupuk semangat keharmonian dan silaturahim sesama kakitangan.

    Kejohanan Bola Jaring ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan selaku Jawatankuasa Acara-acara Sukan bagi Sambutan Hari Guru Ke-35, Tahun 2025, dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai dengan para pemenang dalam kejohanan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENDIDIKAN KOKURIKULUM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda