Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, telah mengongsikan perlaksanaan dan pencapaian Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam tempoh lima tahun melaksanakan rancangan strategik 2020-2024 yang memfokuskan kepada tiga strategik utama.
“Tiga strategik utama itu ialah Pendidikan Agama/Arab Berkesan, Dakwah Mantap Berkesan, dan Kesejahteraan dan Keselamatan Sosial Terjamin,” kata Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan Kenyataan Menteri pada hari ke-13, Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menetapkan 13 petunjuk prestasi utama (KPI) yang mengukur pencapaian tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai inisiatif dalam menjayakan perancangan yang ada.
Dalam kenyataan itu, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan, bagi fokus strategi Pendidikan Agama/Arab Berkesan telah berjaya mencapai sasaran KPI secara keseluruhan pada tahun 2024 yang ditetapkan khususnya dalam peningkatan tahap kompetensi guru, tahap pencapaian dalam peperiksaan-peperiksaan awam dan khatam hafaz Al-Quran.
Sementara bagi fokus Dakwah Mantap Berkesan pula, perkembangan dakwah terus diperkasa dan diperkukuhkan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan pendekatan sesuai dengan trend semasa.

Pihak kementerian melihat perlunya usaha-usaha berterusan dengan mengambil kira sasaran, persekitaran dan cabaran-cabaran baharu.
Menyentuh mengenai Kesejahteraan dan Keselamatan Sosial Terjamin, KHEU akan terus komited untuk mendepani cabaran-cabaran bagi memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan masyarakat akan terus diambil perhatian sewajarnya.
“Secara umumnya pencapaian adalah baik dan mencapai sasaran yang ditetapkan khususnya dari sudut penurunan kadar kes kesalahan syariah,” jelasnya.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan adanya peruntukan dalam bidang pemakanan dan barangan halal, yang mana peruntukan tersebut dimasukkan sebagai sebahagian daripada peruntukan sebanyak $11,173,750.
Selain itu menyarankan tentang potensi besar untuk institusi pengajian tinggi (IPT) lebih berperanan aktif dalam penyelidikan halal.
“Ini saranan yang baik yang sesuai dengan usaha Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES) telah pun bekerjasama dengan IPT dalam penyelidikan halal, di samping itu, juga secara aktif menjalankan penyelidikan sendiri selaras dengan usaha memperkukuhkan dan menambah baik pelaksanaan pensijilan halal,” tambahnya.
JHES turut melibatkan diri dalam usaha penyelidikan bersama IPT, iaitu kerjasama dengan KUPU SB dalam penyelidikan dan pembinaan modul latihan kompetensi halal bagi memenuhi keperluan industri halal.
Selain menjalin kerjasama yang dibuat secara MoU dengan UNISSA dalam penyelidikan halalan tayyiban.
Katanya lagi, “Pegawai-pegawai BKMH JHES juga dijadikan sebagai fasilitator dalam program-program berkaitan halal di UBD, UTB, Politeknik dan IBTE dalam berkongsi pengalaman serta mempertingkatkan kesedaran dan pemahaman pemakanan halal dalam kalangan akademik dan industri.”
Semasa menyampaikan Kenyataan Menteri, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan mengenai peruntukan takmir masjid dan pentauliahan mengajar agama yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli MMN semasa persidangan MMN ke-21 ini.