Pelakon dan penyanyi Indonesia, Iqbaal Ramadhan akhirnya mendedahkan sebab mengapa dia memilih untuk mengubah penampilan berambut botak.
Memetik laporan mStar, kata Iqbaal atau Iqbaal Dhiafakhri Ramadhan, 25, dia mengambil keputusan untuk membotakkan kepala kerana rambutnya rosak gara-gara menjalani penggambaran lakonan.
Iqbaal berkata penampilan baharunya itu bukanlah untuk memenuhi tuntutan watak dalam filem atau drama sebaliknya hanya mahu kelihatan lebih segar.
“Sengaja (botakkan kepala) biar lebih kelihatan segar. Selepas habis penggambaran baru-baru ini rambut saya rosak, sebelum ini rambut saya sering diwarnakan dan dikerinting, jadi mula rasa gatal-gatal,” katanya.
Iqbaal berkongsi perkara itu menerusi sebuah temu bual podcast bersama Andre Taulany yang dimuat naik di saluran YouTube.
Sebelum ini, warganet membuat spekulasi tentang perubahan imej botak yang dilakukan Iqbaal adalah bagi memenuhi tuntutan filem terbaharunya iaitu Perayaan Mati Rasa.
Menerusi filem tersebut, Iqbaal perlu tampil dengan imej botak namun dalam masa sama rupa-rupanya aktor berkenaan mempunyai sebab lain untuk memilih imej seperti itu.
Menurut Iqbaal, dia baharu sahaja menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah dan takut sekiranya dituduh bersikap riyak kerana memilih membotakkan kepala sebagai memenuhi sebahagian daripada tuntutan ibadah itu.
“Sebenarnya saya baru balik dari menunaikan ibadah umrah. Saya takut dituduh riyak,” ujarnya. – Agensi