Iqbal mengaku kalah dengan Siti Nurhaliza

Tidak wajar dijadikan perbandingan… itu pendapat usahawan kontroversi Ahmad Iqbal Zulkefli apabila sikapnya yang dikatakan menunjuk-nunjuk kekayaan jauh beza dengan sikap penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ia susulan foto tular memperlihatkan penyanyi Aku Bidadari Syurga itu mengayakan jam jenama terkenal yang dianggarkan mencecah harga RM1 juta dan bersikap merendah diri walaupun sudah bergelar jutawan.

Menyedari komen pedas yang ditinggalkan warganet di media sosial itu, Iqbal, 27, mengaku penyanyi terkenal itu jauh lebih berjaya daripada dirinya.

“Yang pijak duit tu bukan setengah orang tetapi saya seorang sahaja, tak boleh bandingkan saya dengan Datuk Seri Siti, jauh langit dengan bumi, beliau sangat berjaya.

“Saya tak kaya pun belum mampu lagi beli jam yang harga berjuta… sikap (kami) pun jauh berbeza.

Iqbal mengaku Datuk Seri Siti Nurhaliza jauh lebih berjaya daripada dirinya. – Agensi

“Doakan saya lebih baik ya, kalau tiada warganet yang mengecam, mungkin saya tidak akan belajar sesuatu,” katanya menjawab komen warganet yang mengungkit semula aksi memijak duit dalam rakaman video yang tular baru-baru ini.

Baru-baru ini, penampilan Siti Nurhaliza di malam pertunjukan fesyen mencuri perhatian warganet ke-rana menggayakan jam tangan mewah berjenama bertatahkan berlian.

Rata-rata warganet memuji Siti Nurhaliza yang sentiasa merendah diri biarpun bergelar jutawan, namun dalam masa sama mengaitkan perkara itu dengan sikap Iqbal yang dikatakan sering menunjuk-nunjuk.

Enggan membiarkan dirinya terus menjadi mangsa cemuhan warganet, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Vida ini memohon maaf atas kelakuannya sebelum ini.

“Saya memohon maaf atas segala perbuatan yang mengundang kemarahan semua di sini. Saya banyak khilaf (silap), harus terima segala ini dengan hati terbuka,” ujarnya. – Agensi