Pernah menolak tawaran belajar di Mesir sebelum ini, usahawan Iqbal Zulkefli mahu meneruskan impian menyambung pengajian dalam bidang Syariah Islamiah dan bahasa Arab.
Memetik laporan mStar, Iqbal atau Ahmad Iqbal Zulkefli, 30, berkata beliau bakal melanjutkan pengajian di salah sebuah institusi pendidikan terkenal iaitu Unversiti Al-Azhar.
“Dulu saya menolak tawaran ini kerana memilih untuk belajar di dalam bidang Penulisan Kreatif.
“Saya akan ke Mesir untuk meneruskan pendidikan dalam Syariah Islamiyah dan bahasa Arab di Universiti Al-Azhar.
“Di tempat yang sama ibu dan ayah saya belajar,” katanya.
Iqbal menulis perkara tersebut dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Jumaat lalu.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bila akan berangkat ke sana bagi memulakan pengajian.
Tambah Iqbal bidang tersebut merupakan pilihan awal selepas beliau tamat sekolah menengah namun tidak meneruskannya.
Sebaliknya beliau memilih melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Dalam satu perkongsian lain, Iqbal turut meluahkan rasa malu kerana tidak mampamerkan imej seperti seorang yang pernah belajar dalam bidang agama di peringkat sekolah.
“Segan bercampur malu sebab saya tidak membawa imej yang selayaknya sebagai pelajar bidang agama. Maafkan saya.
“Semakin lama saya rindu kembali untuk duduk dalam kelas dan memperbaiki ilmu-ilmu asas yang sekian lama saya tinggalkan,” ujarnya.
Bagaimanapun dalam keterujaan itu, Iqbal juga bimbang untuk meninggalkan anak angkatnya yang masih kecil kerana mereka tidak pernah berpisah dalam tempoh lama.
“Ada satu hal paling berat bermain di fikiran saya sekarang adalah iaitu Ziyad. Sejak Ziyad lahir, tidak pernah saya tinggalkan lebih dari tiga hari,” luahnya.
Untuk rekod Iqbal mula mengambil Ziyad sebagai anak angkat pada April 2022 iaitu sejurus kanak-kanak itu dilahirkan. – Agensi










