“Bercinta tidak,” kata anggota Insomniacks, Iqie ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan anggota Dolla, Angel seperti mana yang menjadi bualan dalam kalangan warganet.
Iqie atau nama sebenarnya Syed Mir Iqbal, 28, berkata, kesibukan kerjayanya antara alasan mengapa dia tidak boleh menjalin hubungan cinta.
“Bercinta tak. Tak boleh, tak ada masa sebab sibuk,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Iqie, dia dan Angle berkawan sejak belajar di kolej dan menganggap setiap hubungan persahabatan sebagai sesuatu yang istimewa.
“Saya dengan Angle berkawan sejak di kolej dulu. Sampai sekarang masih berkawan rapat dan baik. Semua hubungan dengan kawan-kawan saya, saya anggap istimewa,” katanya.
Perkara itu juga ditegaskan sahabatnya yang juga anggota Insomniacks, Iskandar.
“Dia hubungan biasa saja,” katanya.
Insomniacks bakal mengadakan konsert solo pertama mereka yang diberi nama Insomniacks: Echoes Of A Dream pada 12 Julai nanti di Zepp, Kuala Lumpur. – Agensi
