Bekas isteri kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof, Ira Kazar tidak lagi terkesan dengan kecaman warganet, sebaliknya kian kalis dengan kutukan.
Wanita berusia 29 tahun itu berkata, mulanya dia akan down‘ lebih lagi apabila bapanya yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi menjadi serangan warganet.
“Sebenarnya, saya tidak kisah orang nak cakap apa mengenai saya. Namun, saya terkesan bila orang bercakap pasal ayah. Ia boleh membuatkan saya berasa sangat ‘down’.
“Tapi, saya bersyukur kerana ayah sudah okay,” katanya kepada BH Online.
Ditanya apakah kata-kata yang sering dititipkan buat bapanya yang teruk dikecam warganet gara-gara berkahwin dengan Syamsul, kata Ira, dia hanya mampu meminta bapanya bersabar.
“Saya hanya mampu suruh ayah bersabar sebab saya kena hadap benda sama. Tapi, saya sangat bersyukur kerana hubungan keluarga sangat rapat. Mereka inilah yang menjadi benteng kekuatan saya,” katanya.
Menurut Ira lagi, dia juga tidak kisah jika warganet ingin memperkatakan apa sahaja mengenai dirinya, termasuk mendakwanya mengandung apabila tidak aktif dalam laman sosial.
“Suka hati merekalah nak kata apa. Apa yang penting, saya tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan. Selagi tak keluar daripada mulut saya bermakna benda itu tak betul,” katanya.
Sementara itu, Ira meluahkan kesyukuran apabila rezekinya kian melimpah ruah. Malah, cukup teruja berkongsi mengenai single terbaharu berjudul Tak Kisah hasil kolaborasi bersama Alan D yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi.
“Setakat ini, drama belum lagilah, kerana berlakon bukanlah pilihan utama sebaliknya saya lebih suka menyanyi.
“Sebenarnya ayah tak galakkan saya jadi artis, tapi itu dululah sewaktu masih kecil. Tapi sekarang ini, ayah kata kalau ada peluang pergi saja,” katanya. – Agensi