Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Irama tradisional masih relevan – Siti Nordiana

    Tampil dengan lagu baharu berjudul Ahai, penyanyi Siti Nordiana yakin irama tradisional yang diperjuangkan masih mendapat sambutan dalam kalangan peminat masa kini. 

    Bagi Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, 41, pendengar juga semakin terbuka dan bijak memilih karya-karya berkualiti sebagai senarai lagu mereka. 

    Justeru tidak timbul kebimbangan untuk mempertaruhkan sesuatu yang segar mengikut halwa telinga orang ramai. 

    Memetik laporan mStar, “lagu irama tradisional masih relevan, dan ramai juga rakan-rakan artis lain tampil dengan lagu genre begini dan mendapat sambutan. Peminat sudah terbuka untuk terima apa sahaja genre yang disajikan”. 

    “Saya buat lagu ini untuk peminat, jadi tidak pernah timbul rasa gusar. Jika ia menjadi maka satu bonus buat saya. Namun jika sebaliknya saya akan cuba lagi di masa akan datang,” katanya kepada mStar. 

    Nana juga tidak mahu melihat karya ini sebagai satu saingan kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang baru sahaja melancarkan album irama tradisional berjudul Gema Bumantara. 

    Malah Nana menyifatkan kemunculan lagu Ahai dianggap untuk memeriahkan lagi industri muzik tempatan. 

    “Siti buat lagu irama tradisional, saya sekadar tumpang ‘vibes’ itu di mana saya hanya ikut daripada belakang,” katanya. 

    “Masing-masing ada keistimewaan tersendiri. Kami sama-sama perjuangkan irama sebegini, jadi tak perlu nak bandingkan. Cukuplah semua orang meraikan irama tradisional,” luahnya. 

    Terdahulu Nana melancarkan lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu dengan cukup istimewa apabila tampil menyanyi secara busking bersama peminat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 

    Dalam masa sama, Nana juga memberitahu dia sudah lama menyimpan hasrat untuk tampil dengan muzik irama tradisional selepas kali terakhir melancarkannya sekitar tahun 2001 menerusi album Firus bersama penyanyi Syura. 

    Sejak dua tahun lalu saya dah menyimpan hasrat untuk melancarkan lagu tradisional, tetapi saya rasa gementar. Baru tahun ini saya berani suarakan kepada pengurusan.

    “Syukur saya dapat seperti bunyi yang dimahukan,” jelasnya. – Agensi

    Nana melancarkan lagu bersama peminat. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda