DUBAI, 30 DIS – Tentera Iran hari ini memulakan latihan tahunannya di kawasan pantai Teluk Oman berhampiran Selat Hormuz yang strategik, walaupun pihak berkuasa meneruskan tindakan keras mereka terhadap protes antikerajaan yang telah berlangsung selama lebih tiga bulan, lapor TV kerajaan.
Selat itu terletak di muara Teluk Parsi, merupakan bekalan tenaga yang penting untuk global, dengan kira-kira satu perlima daripada semua minyak yang didagangkan di laut melaluinya.
Laporan TV itu berkata komando dan infantri udara akan mengambil bahagian dalam latihan perang, yang digelar ‘Zolfaghar-1401’, bersama-sama dengan dron, jet pejuang, helikopter, pesawat pengangkutan tentera dan kapal selam. Tentera Iran juga akan menembak peluru berpandu dan sistem pertahanan udara, tambahnya.
Gerakan itu bertujuan untuk “meningkatkan persediaan dalam menghadapi ancaman asing dan sebarang kemungkinan pencerobohan,” menurut laporan TV itu.
Iran kerap mengadakan latihan sedemikian untuk meningkatkan kuasa pertahanannya dan menguji senjata mereka.
Sejak pertengahan September, Iran telah digegarkan oleh protes anti-kerajaan. Ia disebabkan oleh kematian seorang wanita yang ditahan oleh polis moral negara. Demonstrasi dengan cepat meningkat kepada gesaan untuk menamatkan lebih daripada empat dekad pemerintahan ulama negara itu. – AP