TEHRAN, 28 Sept – Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif hari ini menyangkal dakwaan Israel mengatakan Tehran mempunyai sebuah gudang senjata nuklear rahsia.
“Tidak ada kelicikan yang akan mengelirukan bahawa Israel merupakan satu-satunya rejim di rantau kami dengan program senjata nuklear ‘rahsia’ dan ‘tidak diisytiharkan’,” kata Zarif di Twitter. Beliau meminta Israel bahawa sudah tiba masanya “untuk mengaku dan mendedahkan program senjata nuklearnya kepada pemeriksa antarabangsa.”
Menteri Iran membalas dakwaan yang dibuat oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam dalam ucapan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Netanyahu memegang peta dan sekeping gambar ‘perkarangan’ yang didakwanya merupakan gudang senjata nuklear rahsia di Tehran dan menggesa agensi nuklear PBB supaya menyiasat.
“Hari ini, saya mendedahkan untuk kali pertama bahawa Iran mempunyai satu lagi bangunan rahsia di Tehran, gudang nuklear rahsia untuk menyimpan sejumlah besar peralatan dan bahan daripada program senjata nuklear Iran,” katanya. – AFP