Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran anggap serangan Israel ‘pengisytiharan perang’

    TEHRAN, 13 JUN – Iran menyifatkan gelombang serangan udara Israel hari ini sebagai satu pengisytiharan perang, sementara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada Tehran bahawa serangan yang ‘lebih kejam’ akan menyusul jika ia tidak membuat perjanjian berkaitan program nuklearnya.

    Israel mendakwa serangan udaranya telah membunuh sebahagian besar kepimpinan tertinggi pasukan udara Pengawal Revolusi, selain mengenai kira-kira 100 sasaran termasuk kemudahan nuklear.

    Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran bahawa Israel akan berdepan ‘nasib yang pahit dan menyakitkan’ akibat serangan tersebut, manakala Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyifatkan serangan itu sebagai ‘pengisytiharan perang’.

    Tentera Israel berkata Iran melancarkan kira-kira 100 dron, yang berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara sebelum memasuki wilayah Israel, manakala negara jiran Jordan menyatakan ia turut memintas dron dan peluru berpandu yang menceroboh ruang udaranya.

    Trump hari ini menggesa Iran supaya ‘membuat perjanjian’, sambil memberi amaran bahawa lebih banyak ‘kematian dan kemusnahan’ akan berlaku selepas Israel melancarkan serangan maut ke atas kemudahan nuklear Iran.

    AS menegaskan bahawa ia tidak terlibat dalam tindakan Israel dan memberi amaran kepada Iran agar tidak menyerang kakitangan atau kepentingan AS, namun Tehran menyatakan Washington akan ‘bertanggungjawab atas segala akibatnya’.

    Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata negaranya telah menyerang ‘teras utama program pengayaan nuklear Iran’, termasuk saintis nuklear dan kemudahan utama pengayaan uranium di Natanz. – AFP

    Orang ramai dan pasukan penyelamat berkumpul di luar sebuah bangunan yang terkena serangan Israel di Tehran, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda