TEHRAN, 29 JULAI – Iran berkata hari ini Amerika Syarikat (AS) telah menolak tawaran daripada Tehran untuk menjalani pemeriksaan nuklear yang lebih sebagai tukaran kepada pembatalan sekatan disebabkan Washington ‘enggan mengadakan dialog’.
Di bawah perjanjian nuklear 2015 yang dipersetujui oleh Tehran, Iran mesti mengesahkan satu dokumen, dikenali sebagai protokol tambahan, mewajarkan lebih banyak pemeriksaan terhadap program nuklearnya lapan tahun selepas perjanjian diterima.
“Jika AS benar-benar ingin mencapai satu perjanjian, Iran boleh menguatkuasa protokol tambahan pada 2019 dan AS pada masa yang sama mengemukakan pelan kepada Kongres dan membatalkan semua sekatan,” kata jurucakap kementerian luar Abbas Mousavi.
“Namun seperti yang kami ramalkan, ia ditolak oleh mereka, disebabkan kami tahu mereka tidak ingin mengadakan rundingan atau perjanjian yang akan memberikan keputusan yang sesuai,” beritahunya pada persidangan akhbar.
Menurut Mousavi, cadangan dikemukakan oleh Menteri Luar Mohammad Javad Zarif ketika satu lawatan di New York pada bulan ini untuk mengetepikan idea bahawa ‘Iran menentang rundingan sementara Amerika menyokong dialog.’
Duta dari empat buah negara dan Iran bertemu di Vienna semalam untuk membincang cara-cara untuk mengelak perjanjian daripada gagal di tengah kemelut yang meningkat. – AFP