Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran, AS tetap berkeras

    TEHRAN, 31 Julai – Seorang penasihat kepada Presiden Iran Hassan Rouhani berkata hari ini mana-mana rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) perlu bermula dengan penghapusan tentangan dan pengembalian kepada perjanjian nuklear.

    “Penghormatan kepada negara Iran, penghapusan tentangan, pengembalian AS kepada perjanjian nuklear. Ia akan membuka laluan kepada peristiwa bersejarah,” tulis Hamid Aboutalebi di Twitter.

    Dia membalas satu kenyataan oleh Presiden AS Donald Trump semalam mengatakan dia rela bertemu ‘pada bila-bila masa’ dengan pemimpin Iran tanpa sebarang prasyarat.

    “Saya akan bertemu dengan Iran jika mereka mahu berjumpa,” kata Trump pada persidangan akhbar Rumah Putih, kurang seminggu selepas dia berbalas ugutan dengan Rouhani.

    Gambar fail pada 6 Februari 2018 menunjukkan gabungan gambar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Iran, Hassan Rouhani. Seorang penasihat kepada Presiden Iran Hassan Rouhani berkata bahawa mana-mana rundingan dengan Amerika Syarikat perlu bermula dengan penghapusan tentangan dan pengembalian kepada perjanjian nuklear. – AP

    Aboutalebi berkata Iran telah menunjukkan sikap terbukanya kepada dialog sebelum ini, terutamanya dengan panggilan telefon di antara Rouhani dan pemimpin sebelum Trump, Barack Obama pada 2013.

    Dialog tersebut adalah ‘berdasarkan idea bagi langkah pembinaan keyakinan dan perjanjian nuklear merupakan satu kejayaan usaha ini dan ia mesti diterima,’ tulis Aboutalebi. Bagaimanapun, jurucakap kementerian luar negeri Bahram Ghasemi berkata semalam, sebelum kenyataan Trump, bahawa rundingan dengan pentadbiran AS sekarang adalah mustahil.

    “Berdasarkan langkah bermusuhan AS ke atas Iran selepas menarik diri daripada perjanjian nuklear JCPOA dan penguatkuasaan semula sekatan ekonomi, tidak timbulnya peluang untuk rundingan dan Washington mendedahkan sikapnya yang tidak dipercayai hari demi hari,” beritahu Ghasemi kepada wartawan, menurut agensi berita Mehr. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda