TEHRAN, 11 MAC – Iran telah memanggil duta Sweden bagi membantah ‘tuduhan campur tangan’ yang dikemukakan oleh Menteri Pendidikan negaranya, umum Kementerian Luar di Tehran kelmarin.
Menurut satu kenyataan kementerian itu, ia telah membuat bantahan rasmi untuk mengkritik kenyataan dan tuduhan tidak berasas serta campur tangan Menteri Pendidikan Sweden terhadap Republik Islam Iran. Kementerian itu berkata kepada Duta Mathias Otterstedt bahawa kenyataan itu bercanggahan dengan standard undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik.
Perbalahan itu berlaku selepas Menteri Pendidikan Sweden, Johan Pehrson, membandingkan Iran dengan negara yang mengancam keselamatan dalam temu bual dengan media harian Sweden Expressen yang diterbitkan pada akhir Februari lalu.
“Iran adalah negara yang mengancam keselamatan di mana ramai warga Sweden telah melarikan diri. Mereka telah menginstitusikan kebencian terhadap wanita, anti-Semitisme dan menyokong keganasan,” Pehrson dipetik sebagai berkata.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, menggelar kenyataan Menteri Sweden yang dilaporkan itu sebagai tidak boleh diterima dan tidak mempunyai kebenaran dan realiti. – AFP
